Sebenarnya saya nak hina Mahathir, bukan Agong – Michael Cheah DAP


(Abu Leman) – Pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama ‘Michael Cheah’ memohon ampun kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ekoran tindakan memuat naik komen di laman sosial itu yang menghina Seri Paduka.

Peniaga langsir, Cheah Kim Hung, 46, berkata, dia mengaku kesilapannya memuat naik komen itu yang berbunyi ‘Muka mcm end of the world’.

“Saya memohon maaf kepada Yang di-Pertuan Agong atas kesilapan saya.

“Niat asal saya bergurau dengan salah seorang pelayar Facebook, Zinedine Zaid di halaman Facebook I Love Pahang yang sebenarnya merujuk kepada gambar Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika itu yang kelihatan tidak senyum,” katanya dalam sidang akhbar di sebuah hotel di sini hari ini.

Kim Hung berkata, bagaimanapun komennya itu disalah ertikan oleh warganet yang merujuk kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Selepas 10 minit komen itu dibuat saya telah memadamnya kerana ramai pelayar Facebook yang marah kepada saya,” katanya.

Menurutnya, ekoran kesilapan itu, dia ditahan polis pada Jumaat dan Sabtu lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini dan Temerloh. – UO



Comments
Loading...