Azmin Dilantik TPM Selepas Tahun Baharu Cina, Tanya PM – Wan Azizah


(Perak Today) – Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memaklumkan, beliau tidak mengetahui sama sekali mengenai desas-desus pelantikan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Timbalan Perdana Menteri yang kononnya akan dibuat selepas Tahun Baharu Cina.

Beliau berkata, soalan itu seharusnya ditujukan terus kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kena tanya PM (Perdana Menteri). “Saya tak dengar nak rombak Kabinet,” katanya ringkas kepada pemberita ketika hadir pada Majlis Pertemuan Mesra Tahun Baharu Cina Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) dekat Kampung Attap, di sini, hari ini.

Terdahulu, penulis blog, anotherbrickinwall.blogspot.com, menerusi artikel bertajuk ‘Azmin appointed DPM after CNY?’, mendakwa terdapat khabar angin bahawa Mahathir akan melantik Mohamed Azmin sebagai timbalannya.

Spekulasi itu dibuat penulis berkenaan berdasarkan khabar angin yang diterima dalam kalangan orang terdekat yang memberitahu pelantikan itu akan dibuat selepas Tahun Baharu Cina.

Penulis itu turut mendakwa sudah bertahun-tahun beliau merasakan pilihan Mahathir adalah Mohamed Azmin.

Dakwa penulis itu lagi, pelantikan Mohamed Azmin sepatutnya menjawab persoalan penyokong Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengenai nasib Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sama sekali bertentangan dengan angan-angan segelintir penyokong kuat Presiden PKR itu.

Mengenai nasib Datuk Seri Anwar Ibrahim, penulis itu mendakwa Presiden PKR itu akan sekali lagi menjadi mangsa fitnah, namun kali ini tidak membabitkan kes liwat tetapi berkemungkinan berkaitan isu dana amanah.

Tambahnya, Perdana Menteri juga didakwa sudah memberikan pelbagai tugas penting kepada Azmin termasuk sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Kelantan serta kemungkinan mengetuai Majlis Tindakan Ekonomi Negara.

 



Comments
Loading...