Rusia nafi terlibat dalam pilihan raya Indonesia
(Utusan) – Rusia menafikan sebarang penglibatan dalam pilihan raya Indonesia yang akan datang selepas Presiden, Joko Widodo mengeluarkan kenyataan yang mengaitkan pencabarnya dengan propaganda Rusia untuk menutup fakta dan menyebar berita tidak benar.
Penafian itu dibuat kedutaan Rusia di Jakarta menerusi kenyataan yang dikongsi kan di laman Twitter.
“Seperti yang kita ketahui, istilah ‘Propaganda Rusia’ dicipta pada 2016 di Amerika Syarikat semasa pilihan raya presiden. Istilah ini tidak berasas sama sekali.
“Kami menegaskan Rusia tidak campur tangan dalam urusan domestik dan proses pilihan raya negara lain, termasuk Indonesia yang merupakan antara negara paling rapat dan penting buat kami. “ tulisnya.
Jokowi yang bertanding untuk jawatan Presiden bagi penggal kedua, tidak menjelaskan apa dimaksudkannya tentang istilah berkenaan.
Pada masa sama, beliau juga tidak menuduh Rusia campur tangan dalam pilihan raya negara tersebut.