Najib akan dicaj tiga pertuduhan pagi ini
(Utusan) – Tidak sampai 24 jam pengguguran tiga pertuduhan kes melibatkan diri dalam pengubahan wang haram semalam, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan dicaj semula tiga pertuduhan sama pagi ini.
Menurut Ahli Parlimen Pekan itu, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menghantar waran ke rumah beliau pada pukul 9 malam tadi dan memberitahunya untuk hadir ke mahkamah pada pagi ini.
“Pagi semalam semasa saya di mahkamah, pendakwa raya tiba-tiba menggugurkan tiga caj tambahan. Tetapi selepas makan malam kira-kira pukul 9 malam, pihak SPRM datang ke rumah dan memberitahu saya perlu hadir di mahkamah sekali lagi pada pukul 8:30 pagi nanti.
“Tiga caj yang digugur semalam akan dicaj semula pagi nanti. Ya, kuasa untuk mendakwa kini ada di tangan mereka. Oleh itu, saya telah menyediakan beberapa hantaran terlebih dahulu dan telah menjadualkan untuk dimuat naik semasa saya di mahkamah,” katanya menerusi kenyataan dalam akaun Facebook miliknya hari ini.