Nasharudin serah bukti penyata kewangan, akaun kepada SPRM


(Berita Harian) – Bekas Timbalan Presiden PAS, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa hari ini menyerahkan dokumen termasuk penyata kewangan dan akaun bank kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan beberapa pemimpin PAS menerima wang RM90 juta disyaki daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Nasharudin berkata, penyata kewangan dan akaun milik peribadinya serta Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (YGMM) yang diterajuinya sebelum ini adalah antara bukti bagi menyokong keterangannya kepada SPRM berhubung kes itu.

“Saya berpuas hati dengan SPRM dan pertemuan tadi. Saya amat berterima kasih kerana diberi peluang oleh SPRM untuk membuat penjelasan dengan bukti.

“Apabila SPRM diberi ruang untuk membuat siasatan, saya harap semua pihak contohnya mereka yang mengatakan ada bukti untuk tampil ke depan dan bawa bukti berkenaan,” katanya.

Nasharudin berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas memberi keterangan lebih tiga jam di ibu pejabat SPRM di sini, pagi tadi berhubung siasatan dakwaan beberapa pemimpin PAS menerima wang RM90 juta disyaki daripada 1MDB.

Beliau ialah antara pemimpin politik yang dipanggil oleh SPRM berhubung siasatan kes berkenaan. Seorang lagi pemimpin yang turut memberi keterangan pagi tadi ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz di SPRM Kelantan.

Seorang lagi yang dikatakan akan memberi keterangan di ibu pejabat SPRM ialah Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Husam Musa, namun beliau tidak kelihatan hadir pada hari ini.

Nasharudin berkata, antara soalan yang dikemukakan SPRM kepada beliau adalah daripada mana sumber kewangan berkenaan diperoleh dan bagaimana wang itu keluar.

“Saya jawab (soalan). Semuanya termaktub dalam penyata kewangan,” katanya.

Nasharudin berkata, beliau memberi sepenuh kepercayaan kepada SPRM untuk menyiasat dakwaan itu.

“Saya yakin profesionalisme yang ada pada SPRM. Hasil siasatan terserah kepada SPRM.

“Biar SPRM siasat dan buat kenyataan sama ada ada atau pun tidak (dakwaan) untuk merungkai kebenaran,” katanya.

Pada 2017, Rafizi Ramli yang ketika itu Ahli Parlimen Pandan membuat akuan bersumpah mendakwa Nasharudin pernah menerima dana berkait 1MDB.

Nasharudin bagaimanapun menafikan dakwaan itu dengan mengatakan ia sebagai tidak berasas, selain mendakwa ia satu fitnah terhadap beliau dan PAS.

Selain itu, Husam yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan sebelum ini turut mendakwa beliau mempunyai butiran berkaitan dana RM90 juta yang didakwa ada kaitan dengan PAS.

BH hari ini melaporkan empat individu yang dianggap saksi penting dalam siasatan kes berkenaan dijangka memberi keterangan kepada SPRM hari ini.

Difahamkan, SPRM ketika ini dalam proses mendapatkan dokumen penting termasuk daripada bank yang mempunyai kaitan dengan akaun yang didakwa digunakan bagi menerima dana itu.

Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown dalam artikelnya yang diterbitkan portal berkenaan, sebelum ini mendakwa ada pemimpin tertinggi PAS mungkin menerima RM90 juta untuk mendorong parti itu bekerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Isu terbabit timbul semula apabila Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 1 Februari lalu membuat keputusan memuktamadkan penyelesaian di luar mahkamah dengan menarik balik tuntutan terhadap Rewcastle Brown berhubung artikel mengandungi tuduhan terbabit.

 



Comments
Loading...