Nik Abduh: Mereka salah orang, saya tiada maklumat dana RM90 juta


(Bernama) – Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, beliau tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung dakwaan beberapa ahli parti itu, termasuk dirinya menerima dana RM90 juta daripada 1MDB.

Beliau turut mendakwa beberapa individu yang membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini “tersalah orang”.

“Saya dipanggil (SPRM Kelantan) kerana ada beberapa laporan (kepada SPRM) pasal dana RM90 juta tu lah. Saya fikir mereka yang buat laporan terhadap saya tu salah orang kot. Saya tak ada maklumat pasal dana RM90 juta.

“Saya juga ada sentuh sedikit mengenai rakaman audio (didakwa membabitkan dirinya) dan saya jawab pendek, tak ada kaitan dengan saya, dan sebelum ini, saya dah jawab benda itu adalah karut dan fitnah,” katanya selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Kelantan hari ini.

Terdahulu, Nik Abduh yang juga ahli Parlimen Bachok tiba di Ibu Pejabat SPRM Kelantan seorang diri tanpa ditemani peguam pada 10.20 pagi dan keluar kira-kira 12.30 tengah hari.

Ditanya adakah beliau akan memberi kerjasama kepada SPRM jika dipanggil memberi keterangan selepas ini, beliau berkata: “Mana-manalah…SPRM tu kawan saya, kawan kepada PAS.”

Portal berita semalam melaporkan 3 ahli politik dijangka hadir ke pejabat SPRM untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penerimaan RM90 juta disyaki daripada 1MDB yang dikatakan dimasukkan ke akaun beberapa pemimpin PAS.

Difahamkan, ketiga-tiga ahli politik itu daripada pelbagai parti politik, termasuk PAS dan Amanah.

Dua daripada mereka akan memberi keterangan di Ibu pejabat SPRM Putrajaya, manakala seorang lagi di pejabat SPRM Kelantan.

Semua ahli politik tersebut dipercayai pernah berkhidmat di sebuah negeri di pantai timur.

 



Comments
Loading...