Kerjasama UMNO-PAS bukan sandiwara – Ahmad Zahid


(Berita Harian) – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kerjasama parti itu dengan PAS dalam pelbagai isu membabitkan kepentingan agama Islam dan bangsa Melayu, bukan sandiwara atau wayang politik.

Sebaliknya, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk berkata, ia adalah kerjasama padu atas prinsip kebersamaan dan perpaduan umat Melayu Islam.

“Jika ia (kerjasama UMNO-PAS) hanya sandiwara atau wayang politik, itu adalah sejarah. Kalau kita (UMNO-PAS) mahu mengambil alih (kerajaan), kita mesti ikhlas dan mengambil keputusan bersama demi Islam, Melayu dan negara serta jangan ada agenda tersembunyi.

“Kita mahu melihat perubahan dan semua itu mesti dilakukan dengan penuh keikhlasan. Kali ini, UMNO benar-benar ikhlas dan saya yakin PAS juga ikhlas (bekerjasama) demi menjaga kepentingan ummah, agama serta kepentingan bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel bersama Yang Dipertua PAS Kawasan Bagan Datuk yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Misbahul Munir Masduki, pada Wacana Pemimpin ‘Kerjasama PAS-UMNO, Sejauh Mana?’ di Dewan Utama, Kompleks UMNO Bagan Datuk, dekat Sungai Sumun, di sini, malam tadi.

Pada program itu, peguam syarie yang juga anak kelahiran Bagan Datuk, Basaruddin Mohd Yusof bertindak sebagai moderator.

Untuk rekod, Ahmad Zahid menyerahkan tugas Presiden UMNO kepada Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hassan, berkuat kuasa serta-merta pada Disember tahun lalu.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, agenda kerjasama UMNO-PAS berkenaan penting kerana ia juga adalah kehendak dan kemahuan rakyat yang merasakan kedua-dua parti terbabit memiliki kekuatan berdepan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lagi sudah ada rundingan untuk kerjasama PAS dan UMNO tetapi PAS membuat keputusan ‘stand alone’.

“Barisan Nasional (BN) kalah PRU-14 sebab pertandingan tiga penjuru sama ada di kerusi Parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri (DUN), dan inilah harga yang kita bayar dengan mahal. Kita mengakui kesilapan sebab keputusan tidak muktamad,” katanya.

Dalam pada itu, Misbahul Munir turut mengaku kerjasama UMNO dan PAS ketika ini, khususnya dalam isu mempertahankan Melayu, kedaulatan Raja-Raja Melayu, dan Islam, sebagai satu kerjasama serius kerana ada kepentingan bersama.

“Kalau Islam menjadi asas kukuh, insya-Allah kerjasama itu akan kekal. Kita meminta supaya terma utama atas kerjasama ini mesti ada asas kukuh, iaitu Islam yang berlandaskan al-Quran, sunah, ijmak dan qiyas,” katanya.

Ditanya mengenai sejauh mana akrab kerjasama UMNO dengan PAS ketika ini, Misbahul Munir mengibaratkannya sebagai `dekat di mata, dekat juga di hati’.

 



Comments
Loading...