Saya hanya bercakap benar – Dr Mahathir


(Berita Harian) – Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa pemimpin PAS mengaku tidak akan menyokong UMNO dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih disebabkan yang melawan UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bukan DAP.

Pengerusi Pakatan Harapan yang juga Perdana Menteri berkata, malah mereka juga berjanji tidak akan ada pemimpinnya turun ke sana memberi ceramah.

“Saya cuma terpaksa kata yang benar (Datuk Seri Abdul) Hadi (Awang), (Datuk) Takiyudin (Hasan) dan (Dr Ahmad) Samsuri (Mokhtar) mengaku bahawa mereka tidak akan sokong UMNO pada kali ini kerana yang melawan bukan dari DAP.

“Kali ini UMNO bukan lawan DAP, tapi lawan dengan BERSATU dan mereka kata tidak akan sokong mana-mana tetapi mereka tidak mahu isytiharkan perkara itu. Tetapi apabila saya dengar penafian maka terpaksalah saya sebutkan apa yang sebenarnya berlaku,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Dasar Komuniti Negara di sini, pagi tadi.

Pengerusi BERSATU itu juga berkata ketiga-tiga pemimpin itu bercadang untuk membuat surat bertulis yang ditandatangani oleh mereka sendiri sebagai pengakuannya.

“Tetapi (dalam pertemuan itu sebelum ini) mereka hanya memberi contoh yang ditandatangani oleh Takiyuddin saja. Satu surat ada pada saya, tapi surat daripada Hadi dan Samsuri tidak ada tetapi janjinya mereka akan buat pengakuan secara bertulis.

“Saya pun tidak tahu adakalanya mereka sokong tapi mereka memang ada bagi pengakuan kepada saya mereka kata mereka menyokong kepemimpinan saya. Seperti yang kita tahu mereka tidak selalunya menyokong saya,” katanya.

Dr Mahathir juga berkata, pemimpin PAS itu juga memaklumkan tidak turun berkempen untuk calon UMNO dalam PRK kali ini.

“Mereka kata pemimpin mereka tidak akan hadir tetapi seperti kita tahu, kita lihat pemimpin mereka hadir juga (hari penamaan calon PRK DUN Semenyih semalam).

“Yang sebenarnya berlaku adalah pengakuan mereka bahawa kali ini mereka tidak akan sokong UMNO tetapi tidak sebut akan sokong BERSATU atau tidak sokong Pakatan Harapan, tidak sebut tetapi sebut tak sokong UMNO,” katanya.

Selepas Dr Mahathir mendakwa bahawa PAS tidak akan menyokong UMNO dalam PRK DUN Semenyih, beberapa pemimpin PAS tampil menyatakan penafiannya termasuk dari pemimpin UMNO sendiri.

Ditanya mengenai intipati pertemuannya dengan tiga pemimpin PAS itu, Dr Mahathir berkata ia lebih kepada isu pentadbiran di mana kerajaan mahu wakil mereka berada dalam pentadbiran kerajaan Terengganu dan Kelantan, yang kini ditadbir PAS.

 



Comments
Loading...