Bursa Malaysia catat aliran keluar asing mingguan terbesar


(Berita Harian Online) – Pasaran saham di Bursa Malaysia mencatat aliran keluar asing mingguan terbesar dalam tempoh lapan minggu dengan penjualan bersih RM369.2 juta ekuiti tempatan oleh dana asing.

Menurut MIDF Research, berasaskan prestasi harian, jajaran belian bersih asing selama lima hari berturut-turut terhenti pada Isnin lalu berikutan dana global menjual sejumlah RM41.6 juta ekuiti tempatan.

Dalam satu nota penyelidikannya, MIDF Reseacrh berkata pelabur asing kembali semula ke pasaran pada Selasa dengan pembelian sebanyak RM6.6 juta, yang terendah untuk tempoh sehari sejak awal November lalu.

“Bagaimanapun, sejumlah RM122.1 juta ekuiti bersih dijual oleh dana asing pada Rabu lalu berikutan tindakan pelabur mengabaikan kelonggaran yang diberikan Presiden Donald Trump berhubung tarikh akhir bagi rundingan dagangan dengan Beijing.

“Susulan itu, bursa tempatan susut 2.11 mata atau 0.1 peratus untuk ditutup pada 1,685 mata, yang terendah pada minggu lalu. Di samping itu, di pasaran serantau, Korea Selatan dan Taiwan mencatat aliran masuk dana asing yang besar,” katanya di sini.

Mengulas lanjut, laporan itu turut menyebut bahawa jualan bersih asing masih berlaku pada Khamis dan Jumaat lalu tetapi pada kadar yang lebih perlahan iaitu pada RM106.4 juta dan RM105.7 juta, masing-masing.

“Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku keempat 2018 sebanyak 4.7 peratus tahun ke tahun berbanding jangkaan pasaran sebanyak 4.5 peratus tahun ke tahun membantu mengurangkan kegelisahan daripada kemerosotan aktiviti perkilangan di China.

“Selain itu, bagi tempoh separuh pertama bulan ini, pelabur luar pesisir telah menjual ekuiti sebanyak RM206 juta dan ia merendahkan jumlah aliran masuk asing ke dalam negara kepada RM820.1 juta,” katanya.

Sementara itu, di peringkat serantau, Malaysia kini menjadi negara dengan aliran masuk asing terendah di kalangan empat negara ASEAN yang dikaji.

“Indonesia berada di tempat teratas dengan aliran masuk asing melebihi RM3 bilion manakala Thailand adalah satu-satunya negara dengan aliran keluar bersih,” katanya.

 



Comments
Loading...