Mujahid akan saman pihak guna isu Tabung Haji berkempen di PRK Semenyih


Hanya isu RM90 juta dan 1MDB dibenar diguna di dalam kempen PRK Semenyih

(Malaysia Gazette) – Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa memberi amaran kepada parti politik bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Semenyih yang membawakan isu Tabung Haji sebagai bahan untuk berkempen.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, tindakan itu akan diambil kerana beliau menerima laporan perkara tersebut dijadikan isu untuk bagi mengelirukan orang ramai.

Menurutnya, parti politik khususnya pembangkang cuba melakukan pembohongan apabila berkempen kononnya Tabung Haji pada masa ini berada di bawah telunjuk DAP.

“Hari ini, mereka berleluasa khususnya di kempen ini (PRK Semenyih) membawa satu pembohongan kononnya Tabung Haji sekarang di bawah DAP. Menteri Agama tunduk kepada kehendak DAP,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas memberikan ceramah Pakatan Harapan (PH) di Taman Kantan Permai di sini malam ini.

Mujahid mengingatkan pihak-pihak berkenaan bahawa beliau telah menang dalam satu kes saman melibatkan seorang profesor yang menulis dalam satu artikel berhubung perkara sama sehingga akhirnya individu itu membuat permohonan maaf dengan menarik semula artikel yang ditulis.

Katanya, menerusi kemenangan itu, beliau mempunyai kekuatan untuk menutup mulut pihak-pihak yang cuba menabur fitnah dengan menggunakan Tabung Haji sebagai senjata ketika berkempen.

“Dalam tulisan-tulisan mereka menyatakan mereka ini dan menuduh (kerajaan) tunduk kepada DAP.

“Ini bahaya, jangan sampai kita menyaman tulisan-tulisan ini yang jelas berbaur fitnah yang tidak membantu pendeposit 9.7 juta ini (pendeposit Tabung Haji),” ujarnya.

Sebelum ini, Mujahid membuat tuntutan saman fitnah terhadap pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusof di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhunbung artikel yang dimuatnaik pada 25 Mei 2017 di laman Facebooknya bertajuk ‘Dr. Mujahid Antara Kuda Tunggangan Terbaik DAP.’

Bagaimanapun, Kamarul Zaman yang juga bekas Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia (Mapan) bersetuju memohon maaf dan menyatakan penyesalan di hadapan hakim.

Terdahulu, Mujahid menyampaikan ceramah sempena PRK Semenyih yang dihadiri kira-kira 100 penduduk.

Beberapa penceramah lain terdiri daripada pemimpin-pemimpin parti negeri turut hadir dalam ceramah tersebut termasuk Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.

Calon PH, Muhammad Aiman Zainali turut hadir pada ceramah berkenaan untuk memperkenalkan diri kepada pengundi.

PRK Semenyih diadakan ekoran kematian penyandangnya, dari Pakatan Harapan (PH), Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia di Hospital Kajang pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) 9 Mei lalu, Bakhtiar menewaskan penyandangnya daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Johan Abdul Aziz serta dua lagi calon iaitu Mad Shahmiour Mad Kosim (PAS) dan S Arutchelvan mewakili Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Bakhtiar mengalahkan Johan daripada UMNO yang menjadi wakil rakyat di kerusi itu selama dua penggal dengan majoriti 8,964 undi selepas memperoleh 23,428 undi.

PRK Semenyih adalah yang keempat diadakan di Selangor selepas PRU-14. Sebelum ini, Selangor sudah mengadakan tiga PRK iaitu di DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong.

 



Comments
Loading...