Orang Asli Perak ikrar ‘hukum’ PH jika gagal tunai manifesto
(FMT) – Masyarakat Orang Asli Gerik, Perak berikrar akan “menghukum” kerajaan Pakatan Harapan pada pilihan raya umum akan datang jika nasib masyarakat itu terus dipinggir, termasuk dinafikan hak tanah adat.
Timbalan Jaringan Kampung Orang Asli Negeri Perak
(JKOANP), Rahman Hasan berkata, Orang Asli tidak ugut kerajaan, sebaliknya ingin meluahkan rasa kecewa kerana janji PH menerusi manifesto untuk membela nasib masyarakat itu tidak ditunaikan.
“Kita akan hukum, kita akan tukar orang lain, kita akan bincang seluruh penduduk Orang Asli Semenanjung, kita akan buat keputusan.
“Sebelum PRU, PH termasuk menteri besar Perak turun jumpa kita, mereka cakap kalau sokong PH, mereka akan selesaikan isu Orang Asli, itu janji mereka. Cakap sedap, biasalah masa tidak ada duit cakap macam itu, bila dah ada duit (jawatan) tidak pandang kita Orang Asli.
“Menerusi janji manifesto perkara 38, mereka cakap ingin melindungi hak Orang Asli, melindungi kepercayaan agama dan sebagainya,” katanya kepada media yang menyertai lawatan bersama Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) di perkampungan Orang Asli Gerik.
Rahman menambah, selepas PRU14, pemimpin PH jarang bertemu Orang Asli sebaliknya pemimpin Umno dan PAS lebih ghairah bertemu masyarakat itu.
“Perjuangan Orang Asli sekarang ini Umno dan PAS sokong, mereka pula sokong kita lawan kerajaan,” katanya.
MB Perak hina Orang Asli
Rahman berkata, kerajaan Perak pimpinan PH bukan sahaja tidak mendengar rintihan Orang Asli, malah Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu didakwa menghina masyarakat itu.
Beliau berkata, Ahmad Faizal mendakwa Orang Asli malas bekerja dan gemar meminta-minta.
“Kami ada buat laporan mendesak MB Perak yang buat kenyataan kononnya kami masih mengamal budaya meminta-minta, sila minta maaf kepada kami. Sebab mereka sudah jahanamkan hutan kami, memang kami harapkan bantuan kerajaan,” katanya.
Rahman turut mendakwa terdapat pegawai kerajaan mengugut mereka supaya berhenti melakukan sekatan.
“Ada pihak berkuasa lain nak robohkan blockade, kami bukan komunis, kami bukan IS, kami bukan pemberontak, kami tidak ada bom, tidak ada senjata. Ini dikatakan negara merdeka tapi tengok manifesto apa jadi.
“Kami berjuang sejak 1986 bukan baru sekarang, dulu zaman Umno mereka mana dengar bantahan kami, mereka buat pekak saja sebab mereka berkuasa. Tapi naik PH kita minta mereka tunai manifesto, tapi harapan tinggal harapan sebab itu kami lawan,” katanya.
Awal Januari lalu, Orang Asli Tasik Cunex mendakwa kerajaan negeri menceroboh tanah adat dan bertindak membina sekatan.
Mereka mendakwa aktiviti pembalakan itu dilakukan di kawasan seluas 80 hektar, dijalankan tanpa kebenaran komuniti itu.
Jabatan Perhutanan Perak menangkis tuduhan mendakwa jabatan perhutanan dan kerajaan negeri menceroboh “tanah adat”, menjelaskan tiada kawasan hutan simpanan kekal diwarta sebagai tanah adat di kawasan itu.