SPRM buka 6 kertas siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang


(Berita Harian) – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan sudah membuka enam kertas siasatan berkaitan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

SPRM memaklumkan, kertas siasatan pertama dibuka pada Julai 2017, manakala lima lagi dibuka pada Januari 2018.

“Sebanyak lima kertas siasatan sudah selesai dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

“Tiga kertas siasatan sudah dikembalikan kepada suruhanjaya ini untuk siasatan lanjut, manakala dua lagi masih dalam kajian Timbalan Pendakwa Raya.

“Selebihnya, masih dalam siasatan SPRM,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, pengendali blog Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin, dalam siri artikel yang dikata berdasarkan kertas siasatan SPRM, mendakwa Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, dan empat EXCO Kerajaan Pulau Pinang terbabit rasuah berhubung projek bernilai RM6.3 bilion itu.

Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang bagaimanapun menegaskan dakwaan itu adalah satu penipuan dan mengarut kerana projek terowong dasar laut berkenaan dibuat menerusi proses tender terbuka, sekali gus tidak memungkinkan wujud unsur rasuah dalam pelaksanaannya.

 



Comments
Loading...