Hukuman menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW keterlaluan – Kit Siang
(Utusan) – Penasihat DAP, Lim Kit Siang hari ini mempertikaikan keputusan mahkamah yang menjatuhkan hukuman penjara terhadap Alister Cogia, pemilik akaun Facebook Ayea Yea yang menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW.
Memetik kenyataan beliau menerusi blognya, Kit Siang menyifatkan hukuman yang dikenakan terhadap pesalah tersebut adalah berat dan keterlaluan.
“Semua rakyat Malaysia mesti menegakkan Perlembagaan dan menghormati semua agama di Malaysia. Walau bagaimanapun, hukuman yang dikenakan terhadap pesalah termasuk penjara 10 tahun dan 10 bulan kepada pemilik akaun tersebut keterlaluan.
“Seperti yang disarankan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hanipa Maidin, pemilik akaun tersebut perlu merayu keputusan Mahkamah Sesyen Kuching,” katanya di sini hari ini.
Beliau mengulas hukuman yang dikenakan terhadap Alister yang dijatuhi hukuman 10 tahun 10 bulan selepas mengaku bersalah terhadap 10 pertuduhan termasuk menghina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW.