Kerjasama Umno-PAS ancam PH dan negara, kata DAP Sarawak


(FMT) – Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen berkata, kerjasama Umno-PAS ialah ancaman kepada Pakatan Harapan dan negara, jika kedua-dua parti itu berjaya memenangi pilihan raya umum ke-15 akan datang.

Pengerusi PH Sarawak itu bersetuju dengan kenyataan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming yang menyifatkan kerjasama Umno-PAS akan menyebabkan negara menjadi seperti Afghanistan yang diperintah Taliban.

Chong yang juga timbalan menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna juga kesal dengan MCA dan MIC yang tidak membantah tindakan Umno-PAS membawa propaganda perkauman dan agama dalam 2 pilihan raya kecil lalu.

“Kerjasama PAS-Umno bukan saja ancaman kepada PH, tetapi juga kepada negara secara keseluruhannya,” katanya di lobi Parlimen.

Sebelum ini media melaporkan Nga sebagai berkata, Malaysia akan menjadi seperti Afghanistan yang diperintah Taliban, jika kerjasama Umno-PAS berjaya membentuk kerajaan.

Pada 5 Mac lalu, Umno mengumumkan kerjasama rasmi dengan PAS di peringkat Parlimen dan setiap pilihan raya, selepas meneliti hala tuju kedua-dua parti serta senario politik tempatan.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata, kenyataan Chong dan Nga itu sekadar pandangan peribadi.

Katanya, tidak salah untuk mereka menyuarakan pendapat, jika merasakan kerjasama Umno-PAS memberi ancaman kepada orang bukan Islam.

“Seruan mereka adalah seruan menyatukan Melayu dan Islam untuk menghadapi ancaman bukan Islam.

“Kalau mereka menggunakan seruan sedemikian rupa, tak salah bagi orang bukan Islam menganggap ia merupakan satu kesatuan yang berasaskan kebencian terhadap bukan Islam.”

Beliau berkata, Amanah tidak bersama PAS dan Umno kerana bukan cara parti itu menanam kebencian dan ketakutan terhadap mana-mana individu.

“Jadi, tidak salah jika bukan Islam terasa terancam kerana kempennya selalu kempen kebencian dan ketakutan, itu yang mereka buat. Ia tidak normal dan natural menggunakan kempen kepada orang Islam mereka terancam, bukan Islam nak berkuasa.”

Katanya, Islam sentiasa cuba mengemukakan penyelesaian terhadap masalah manusia.

 



Comments
Loading...