Persoalan Mengenai Penjualan Aset Jadi Tumpuan Di Parlimen, PH Makin Panas


(Umno Online) – Persoalan mengenai penjualan aset oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dijangka akan terus menjadi tumpuan yang akan memanaskan sesi Sidang Dewan Rakyat sebagaimana yang berlangsung semalam.

Beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) semalam telah bangkit mengutarakan persoalan mengenai penjualan aset termasuk yang dimiliki oleh Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dengan melihat pendekatan kerajaan PH cukup berbeza dengan kerajaan sebelum ini.

Dalam celahan pertanyaan ketika Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berbahas, Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan melihat kerajaan hari ini kerjanya menjual dan berbanding zaman kerajaan dahulu, usaha dilakukan untuk memiliki aset yang besar untuk negara.

“YB Bera ada menyebut kepentingan Malaysia dalam IHH Healthcare Berhad dijual dengan nilai yang saya sebutkan di sini RM 1.442 Bilion… tetapi saya juga ingin menyatakan di sini YB Bera, antara yang dijual juga ialah kepentingan tertentu di dalam CIMB, RM635 juta kemudian kepentingan Khazanah dalam BDO UniBank,RM360 juta, Infosys Limited RM284 juta, Titan Industries Ltd kepentingan Khazanah dijual RM212 juta.

“Kelihatan mereka ini menjual…, menjual…, menjual…, semua dijual. Senarai yang saya baca itu ialah jawapan daripada kementerian kewangan… soalan yang saya tanya apakah yang dijual dan mereka menjawab begitu banyak sekali yang dijual.

“Ada lapan kepentingan Malaysia… kepentingan Khazanah telah dijual. Jadi kerajaan PH sekarang ini kerjanya menjual… menjual… menjual. Kerajaan zaman YB Pekan (Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak) membeli dan memiliki. Itu beza,” katanya.

Terdahulu beliau bertanyakan Datuk Seri Ismail Sabri apakah rasional mengenai langkah kerajaan mengenai Malaysia Airline System (MAS).

“Antara yang dicadang yang disebutkan oleh YAB Langkawi, bahawa oleh kerana masalah hutang yang ditanggung oleh Malaysia Airline (MAS) beliau menyebut bahawa kemungkinan MAS boleh ditutup atau dijual. Adakah perkara ini rasional untuk dilakukan,” soalnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin yang turut bangun mencelah ketika perbahasan ketua pembangkang, berkata apa yang diungkapkan oleh kerajaan PH cukup berbeza dengan apa yang dilontarkan sewaktu menjadi pembangkang sebelum ini.

“Mutakhir ini kita lihat bagaimana kecenderungan kerajaan PH kerjanya menjual dan bukannya kerja mencari, tetapi sebelum memerintah mereka cakap banyak… nak memperbetulkan ekonomi sekarang ini sudah hampir setahun tidak ada satu pun ekonomi negara yang dilihat boleh dibentuk untuk dikembangkan.

“Yang ada jual… lama-lama tanah dia jual… air dia jual… skandal tidak berhenti. Macam-macam skandal… jual lagi,” katanya yang memohon penjelasan di Parlimen.

Bagi Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said pula dalam celahannya turut membangkitkan jawapan ‘standard’ pihak kerajaan yang masih mengutarakan soal beban hutang dan sebagainya.

“Apabila kita menimbulkan soal kerugian Khazanah dan juga penjualan aset-aset dan isu-isu yang berkait dengan projek pembangunan yang lain, senang… Menteri Kewangan akan sebut kerana beban hutang yang diwarisi kerajaan terdahulu termasuk juga dikatakan skandal 1MDB menyebabkan kerajaan PH tidak boleh memberikan atau melakukan pembangunan yang lain.

“Ini termasuk yang disebut oleh ketua pembangkang tadi mengatakan Khazanah rugi dan juga penjualan aset di bawah khazanah ini… senang sahaja jawapan daripada pihak kerajaan kerana skandal hutang,” ujarnya.

Datuk Seri Ismail Sabri dalam jawapannya mengenai soal yang dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Parlimen pembangkang mengatakan itu adalah kerja mudah kerajaan.

“Info yang diberikan Pontian dimasukkan di dalam ucapan… dan setuju dengan Kuala Krau… kerja mudah yang dilakukan oleh kerajaan untuk menjana pendapatan jual segala aset yang ada,” katanya lagi. – MediaUMNO

 



Comments
Loading...