Bekas Naib Presiden MIC antara 4 maut
(Utusan) – Empat lelaki maut manakala tiga lagi cedera setelah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire dinaiki mereka dirempuh sebuah lori kontena yang terbabas di Kilometer 33 Lebuhraya Utara Selatan, di sini malam tadi.
Ketua operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kulai, Firdaus Juritah berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah lori kontena terbabas memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar Toyota Vellfire itu dan Proton Wira Aeroback.
Menurutnya, seramai lima anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan mengenai kemalangan terbabit pada pukul 12.08 tengah malam tadi.
“Setiba di lokasi kejadian, kita mendapati ada mangsa yang cedera dan meninggal dunia. Pihak bomba menjalankan usaha mengeluarkan mangsa dari Toyota Vellfire.
“Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kulai dan mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, tiada sebarang pengenalan diri ditemukan di lokasi kejadian.Firdaus memberitahu, pemandu lori kontena dan Proton Wira Aeroback tidak mengalami sebarang kecederaan dan operasi ditamatkan pada pukul 1.24 pagi.
Dalam pada itu memetik portal The Star Online antara yang maut dalam kemalangan itu ialah bekas Naib Presiden MIC, Tan Sri S. Balakrishnan.