OKT dituduh hina Islam dan Nabi Muhammad dakwa diserang di penjara


(FMT) – Seorang kaum Cina yang dituduh menghina Nabi Muhammad di Facebook, hari ini mendakwa dia diserang di dalam penjara.

Wai Foo Sing mendakwa dipukul dalam Penjara Sungai Buloh, lokasi dia ditahan selepas gagal membayar ikat jamin RM20,000.

Keluarganya hanya berjaya membayar ikat jamin itu pada 13 Mac lalu.

Lelaki berusia 68 tahun itu didakwa di mahkamah pada 27 Februari lalu atas 2 pertuduhan di bawah 298A (1)(a) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia kerana menghina nabi.

Peguam, Gerald Lazarus yang mewakili Wai memberitahu Mahkamah Sesyen mengenai dakwaan itu, ketika sebutan kesnya hari ini.

Katanya, anak perempuan Wai sudah membuat laporan di Balai Polis Klang Selatan pada 15 Mac lalu.

“Dia juga diletakkan di bawah pemerhatian mental dan kami ada laporan perubatan yang mengesahkan kecederaan dialaminya.”

Hakim Mahkamah Sesyen, MM Edwin Paramjothy memaklumkan beliau mengetahui dakwaan Wai dan menetapkan 17 serta 18 Jun ini untuk sesi pendengaran, selepas timbalan pendakwa raya, Muhamad Asyraf Md Kamal berkata, pihak pendakwaan sudah menyerahkan dokumen perbicaraan kepada peguam Wai.

Lazarus turut memberitahu mahkamah, mereka akan menghantar representasi kepada pihak pendakwaan untuk memohon pertuduhan diringankan terhadap Wai.

Dalam mahkamah sama, seorang lagi lelaki yang berdepan pertuduhan sama turut mendakwa diserang dalam Penjara Sungai Buloh.

Chow Mun Fai berdepan 8 pertuduhan di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan pada 8 Mac kerana menulis, menerbit dan menyebarkan satu kenyataan, khabar angin atau laporan dengan niat menghasut atau mungkin menghasut, seseorang melakukan kesalahan terhadap orang lain.

Dia mendakwa dipukul ketika dalam tahanan sehingga cermin matanya pecah.

Edwin memberitahu Chow, dia patut membuat laporan polis berhubung insiden itu.

Lazarus berkata, beliau akan membantu Chow dan seorang lagi lelaki, Danny Anak Antoni, mendapatkan peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Danny berdepan 2 pertuduhan menghina nabi, Islam dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang melalui Facebooknya.

Mahkamah menetapkan 26 April ini untuk sebutan kes.

 



Comments
Loading...