Mahathir seorang pemimpin lemah – DAP
(FMT) – Ahli Parlimen Klang (PH-DAP), Charles Santiago hari ini membidas langkah kerajaan menarik diri daripada Statut Rom, mengatakan ia menghantar mesej yang salah kepada pengundi, pelabur dan anggota Asean.
Santiago, yang mempengerusikan kumpulan ahli-ahli Parlimen Asean untuk hak asasi manusia berkata, penarikan balik perakuran itu menunjukkan kelemahan dan kerajaan yang tunduk kepada tekanan.
Beliau berkata episod terbaru ini mengingatkannya kepada kekecohan sekitar cadangan Malaysia menandatangani Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Beliau berkata ketika itu pun tiada rundingan dibuat dengan orang ramai sebelum memutuskan untuk tidak menandatanganinya.
Santiago berkata ICERD, seperti Statut Rom, tidak memberi kesan buruk pada mana-mana orang, tetapi Malaysia terlalu cepat melepaskannya selepas ditekan.
“Semua ini menunjukkan kelemahan. Ia menunjukkan anda tidak memikirkannya sedalam-dalamnya; ia menunjukkan apabila ditekan, anda mengalah.
“Ini akan memberi mesej yang salah kepada orang awam yang mengundi kamu, pelabur dan rakyat yang menyokong kamu. Rakyat bergantung kepada budi bicara anda untuk membuat keputusan yang menguntungkan negara.
“Ini akan memberi kesan pada perdana menteri dan jemaah menteri, dan anda menyebabkan jemaah menteri kelihatan lemah. Hanya kerana ada orang cuba merosakkan keadaan, anda tarik balik,” katanya ketika ditemui di Festival Pelarian hari ini.
“Mereka tidak mendekati orang ramai dan akibatnya, anda terpaksa patah balik. Ini menjatuhkan air muka menteri dan kerajaan,” katanya merujuk kepada Menteri Luar Negeri, Saifuddin Abdullah, yang menandatangani Statut Rom di PBB pada Mac.
Santiago berkata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berani memansuhkan kekebalan raja-raja daripada pendakwaan tetapi tertanya mengapa dia “tunduk”. “Apa yang sudah berubah?” katanya.
“Jika anda berkelakuan lemah, adakah orang ramai akan menyokong kamu?”
Sementara itu, bekas wakil Malaysia ke Suruhanjaya Antara Kerajaan Asean Mengenai Hak Asasi Manusia, Edmund Bon berkata, penarikan diri itu akan menyebabkan banyak kekeliruan, sama ada serta merta atau selepas setahun.
Beliau berkata apabila Filipina membuat keputusan menarik diri daripada statut itu, ia hanya berkuat kuasa setahun kemudian.
Bon berkata ini pertama kali sebuah negara cepat-cepat meninggalkan statut itu selepas menandatanganinya.
Beliau berkata mengikut Perkara 127 Statut Rom, ia mengikat selama 1 tahun bermula Jun tahun ini.
Pengkritik perjanjian itu berkata menandatanganinya melanggar Perlembagaan Persekutuan kerana ia akan memberi kesan pada raja-raja Melayu, hak Melayu dan kesucian Islam.