Dr M kecewa exco dirombak selepas percakaran terbuka dengan istana Johor


(FMT) – Ketika 10 exco Johor mengangkat sumpah jawatan di depan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene, Dr Mahathir Mohamad sedang menghadiri sebuah konvensyen mengenai Orang Asli di Putrajaya, di mana perdana menteri memberitahu wartawan beliau percaya barisan baru itu dipilih berdasarkan persetujuan PPBM.

“Saya rasa begitulah,” katanya pada Isnin lalu.

Tetapi, butirannya timbul selepas itu daripada sumber rapat dengan parti terbabit yang memberitahu barisan baru itu bukan saja tidak diluluskan pucuk pimpinan PPBM, sebaliknya tiada arahan untuk merombak exco negeri.

Isu itu hangat dibincangkan dalam mesyuarat peringkat tinggi yang dipengerusikan Mahathir pada hari sama 10 exco itu mengangkat sumpah.

Tumpuan mesyuarat tegang itu ialah langkah Menteri Besar Johor, Dr Sahruddin Jamal mengabaikan arahan tidak merombak barisan exco negeri.

Sumber berkata, Sahruddin bukan satu-satunya pemimpin yang mengecewakan Mahathir, khasnya ketika perdana menteri terbabit dalam pertikaian sensitif dengan istana mengenai siapa yang berkuasa menentukan hal tadbir urus Johor, negeri yang lama bergelut dengan isu bidang kuasa membabitkan istana.

Percakaran itu timbul ketika istana Johor lantang membantah keputusan Putrajaya meratifikasi Statut Rom, perjanjian yang didakwa boleh mengugat institusi diraja.

Mahathir kemudiannya terpaksa menarik balik triti itu. Beberapa kenyataan terbuka menyusul, mengingatkan rakyat Malaysia kepada krisis Perlembagaan pada 1993 yang berakhir dengan raja Melayu hilang kekebalan daripada pertuduhan jenayah.

Mahathir bagaimanapun kecewa pindaan itu tidak dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengukuhkan demokrasi dan keadilan kerana mahkamah khas jarang digunakan sejak itu.

Selain perkara itu, perdana menteri tertua di dunia yang berusia 94 tahun itu tentu kecewa dengan tindakan terbaru seorang atau 2 orang paling dipercayainya dalam pimpinan PPBM berhubung isu di Johor.

Tetapi, penganalisis politik dari Universiti Malaya, Awang Azman Pawi berkata, mengekalkan hubungan antara Putrajaya dan istana Johor sangat penting dan pemimpin yang kini menerajui kerajaan negeri susulan peletakan jawatan Osman Sapian sebagai menteri besar, perlu lebih memahami Johor.

“Tanpa persetujuan sultan mengenai barisan exco, ia akan menjejaskan hubungan antara kerajaan negeri serta istana, dan menyebabkan tadbir urus negeri tidak berjalan lancar.”

Difahamkan, rombakan exco negeri dibuat atas permintaan sultan.

Awang Azman memberi amaran terhadap perpecahan dalam PPBM, dengan satu puak tidak bersetuju dengan cara Mahathir berurusan dengan Johor, di mana pengganti menteri besar perlu memastikan hubungan lebih baik dengan istana demi kepentingan survival politik.

Seorang lagi penganalisis politik, Kamarul Zaman Yusoff berkata, wujud persepsi barisan baru exco negeri diputuskan istana Johor dan istana akan terus mengembangkan pengaruhnya dalam pentadbiran negeri.

Beliau memberi amaran terpulang kepada Sahruddin untuk memastikan kehendak parti dipatuhi, tetapi perlu mengelak daripada menimbulkan kemarahan pihak tidak sepatutnya.

Beliau turut mencadangkan pembangunan di Johor boleh memecahbelahkan PPBM.

“Pelantikan exco mungkin bukan isu cukup besar untuk mencetuskan pergaduhan besar, tetapi jika menteri besar baru membenarkan isu lebih besar berlaku selepas ini, saya rasa beliau sendiri sengaja mencari masalah.”

Menjelang pemilihan parti, Kamarul berkata, Sahruddin mungkin berdepan kesannya, jika tidak mengikut arahan parti dalam mentadbir Johor.

“Hasil daripada episod ini ialah Tun Mahathir menjadi lebih kuat. Terdapat sedikit keraguan rakyat akan menyokong beliau jika berlaku konfrontasi berskala besar dengan istana.”

 



Comments
Loading...