Sumber: Berang dengan rombakan exco Johor, Dr M terfikir mahu bersara


(MALAYSIAKINI) – Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, yang dilaporkan berang dengan rombakan majlis eksekutif exco kerajaan negeri Johor dan dikatakan terfikir mahu meletak jawatan, menurut sumber.

Sumber itu berkata pengerusi Bersatu mendedahkan perkara berkenaan semasa mesyuarat kecemasan majlis tertinggi parti pada malam Isnin lalu.

“Beliau begitu kecewa dan terkejut kerana menteri besar baru (Dr Sahruddin Jamal) tidak mematuhi nasihatnya untuk mengekalkan barisan exco,” kata sumber itu kepada Malaysiakini.

Menurut sumber, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang juga ketua Pemuda Bersatu, berjaya meyakinkan Mahathir supaya tidak melepaskan jawatannya.

Malaysiakini gagal menghubungi Syed Saddiq untuk mendapatkan ulasannya tetapi sumber yang rapat dengannya mengesahkan perkara itu.

Menurut sumber, Mahathir pada mesyuarat itu memberitahu bahawa beliau begitu kecewa pada pagi itu – apabila tiga ahli exco baru mengangkat sumpah jawatan – dan bercadang mahu melepaskan jawatannya.

Anggota majlis tertinggi yang lain kemudian meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap keingkaran menteri besar itu.

“Bagaimanapun, semasa mesyuarat baru bermula, Mahathir kembali tenang,” kata sumber itu, sekali gus menafikan dakwaan yang disebarkan di media sosial kononnya perdana menteri mengancam untuk meletak jawatan pada mesyuarat itu.

Pada 13 April lalu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dilaporkan bertitah bahawa menteri besar baru yang menggantikan Osman Sapian, yang meletak jawatan selepas 11 bulan menerajui negeri itu perlu juga merombak barisan exco.

Mahathir, yang sering tidak sehaluan dengan istana Johor dalam pelbagai isu, berkata Sultan tidak mempunyai pengaruh dalam perkara berkenaan.

Sebelum itu, Perdana Menteri berkata jika Raja-raja dianggap memiliki kuasa untuk memilih perdana menteri dan menteri besar, Malaysia tidak boleh lagi dikira sebagai negara demokrasi.

Mengulas lanjut, sumber itu berkata menteri besar baru mungkin tunduk terhadap desakan sultan selepas berunding dengan presiden Bersatu dan pemimpin Bersatu Johor, Muhyiddin Yassin.

“Muhyiddin memberitahu mesyuarat bahawa semasa kejaddian itu, beliau berada di luar negara untuk mendapatkan rawatan perubatan dan tidak menyedari keputusan parti itu.

“Jadi bila Dr Sahrudin tanya Tan Sri (Muhyiddin), Tan Sri pun cakaplah, ‘sebagai MB, kamu patut bekerja dengan orang yang kamu selesa’, itu je,” kata sumber itu.

Sumber itu mendakwa bahawa apa yang berlaku adalah kes salah faham.

Semalam, Malaysiakini melaporkan bahawa Muhyiddin telah memohon maaf kepada Mahathir dan menjelaskan peristiwa yang membawa kepada rombakan exco semasa mesyuarat itu.

 



Comments
Loading...