Cucu tak setuju Dr. M jadi PM semula


Cucu Dr Mahathir Mohamad mengaku tidak gembira apabila datuknya mahu menjadi perdana menteri semula.

(FMT) – Ineza Roussille yang juga seorang penerbit filem itu berkata, dia selalu tidak sefahaman dengan datuknya dalam hal politik.

“Keluarga kami agak rapat. Kami cuba bercuti bersama sekali setahun.

“Tetapi saya tidak pernah bincang hal politik dengan datuk saya kerana saya tak bersetuju dengan beberapa perkara yang dia lakukan, dan ada peraturan tak tertulis yang kita tidak akan kritik satu sama lain di khalayak,” katanya dipetik dari South China Morning Post (SCMP).

Ineza, anak perempuan Marina Mahathir itu pernah membantu proses dokumentari datuknya semasa PRU-14 bertajuk M for Malaysia.

“Jadi apabila emak saya tanya sama ada saya mahu bantu membuat dokumentari, saya agak keberatan.

“Antara sebabnya saya tak mahu terlalu rapat dengan jentera politik dan dilihat hilang objektiviti selain dilihat berada di pihaknya semasa kempen disamping saya akan lebih terdedah berbanding tidak dikenali sebelum itu,” katanya.

Ineza, 32, juga teringat dia melihat salah seorang anak Anwar Ibrahim yang menjadi rakan sekolahnya bersedih selepas Mahathir memecat timbalannya pada tahun 1998.

Akibatnya dia mendapat tekanan daripada rakan-rakan sekolahnya ekoran isu berkenaan.

“Saya tak pernah merasai derita seperti apa yang dialami anak-anak Anwar derita tapi apabila peristiwa 1998 berlaku, ia adalah masa yang sangat sukar. Kawan-kawan di sekolah cemuh saya setiap hari,” katanya lagi.

Ineza berkata, sebelum terlibat dalam pembikinan dokumentari itu – dia hanya berjumpa dengan datuknya semasa percutian keluarga.

Bagaimanapun, dia menyaksikan buat pertama kali Mahathir “bekerja” dan ia mengaguminya.

Begitu juga kekagumannya kepada neneknya, Dr Siti Hasmah Ali yang mengikuti datuknya berkempen.

Di sebalik itu, Ineza juga mula melihat perspektif baru dalam politik di Malaysia dan datuknya.

“Saya sedih apabila orang serang dia (Mahathir). Jika dia cakap sesuatu yang saya tak setuju, itu pun saya akan rasa sedih kerana saya prihatin. Dulu masa dia jadi perdana menteri, saya belum cukup dewasa,” katanya.

Seorang lagi pengarah bersama dokumentari itu ialah anak taikun perniagaan Lee Kim Yew, Dian Lee yang juga merupakan sahabat Mahathir.

Tidak seperti bapanya, Dian juga bersikap kritikal terhadap pentadbiran lama Mahathir.

“Saya ada pendapat dan pandangan berbeza terhadap Mahathir.

“Saya percaya dia bertanggungjawab atas keadaan teruk negara kita sekarang ini. Dalam usahanya menjadikan Malaysia negara maju, dia buang banyak semak dan imbang yang perlu untuk negara kita,” katanya.

Menurut artikel SCMP, Mahathir memberikan kerjasama yang baik (semasa pengambaran) dengan menerangkan apa yang berlaku setiap hari kepada kru pengambaran.

Katanya, ada juga saat-saat yang bersifat lebih peribadi dirakam, contohnya ketika Mahathir memeriksa draf ucapannya ketika baru bangun tidur dan masih memakai baju tidur.

Ineza menjelaskan, sebelum PH memenangi PRU-14, kru pengambaran sendiri tidak tahu apa yang hendak dilakukan dengan rakaman tersebut.



Comments
Loading...