Konsert bukan keperluan utama anak muda
(HarakahDaily) – Apa yang menjadi keperluan anak muda sekarang ialah sistem pendidikan yang terbaik di semua peringkat, peluang pekerjaan yang terjamin selepas tamat pengajian, kos sara hidup yang rendah terutama untuk graduan atau yang baru menamatkan pengajian, semakan semula pinjaman pelajaran terutama PTPTN yang membebankan pelajar dan banyak lagi yang harus di beri perhatian terutamanya keperluan anak muda untuk mengharungi cabaran masa depan.
Dahulu ketika universiti tempatan berada di tangga tercorot dalam ranking universiti dunia, ramai yang begitu ambil berat malah mengkritik cara pentadbiran universiti tempatan, sikap pelajar malah Kerajaan terdahulu agar memberi penumpuan yang lebih dalam membangunkan semula serta memperbaiki ranking universiti tempatan. Sekarang ternyata kebanyakkan IPTA berjaya memperbaiki ranking mereka dan berada di kedudukan yang cukup membanggakan.
Apa yang di telah di sebut adalah keperluan utama yang mendesak untuk anak muda yang perlu di beri perhatian. Namun apabila Menteri Belia dan Sukan memberitahu yang beliau tidak mahu kalah kepada negara-negara jiran dalam menjadikan Malaysia destinasi konsert yang unggul di rantau ini, saya musykil apa faedah untuk anak muda negara jika anjur konsert besar-besaran dengan membawa masuk artis luar?
Apakah Menteri mahu ubah fokus, lebih mengutamakan konsert daripada keperluan utama anak muda masa kini? Masalah anak muda yang berbangkit sekarang langsung tidak ada kena mengena dengan konsert atau pun membawa masuk artis luar negara. Saya pohon YB Menteri fokus masalah anak muda yang berlarutan sejak sekian lama. Kita tidak mahu lagi ada aktivis pelajar tidur di jalanan, berdemo setiap hari malah kita juga tidak mahu ada Menteri yang kembali berdemo, malah tidur di jalanan meminta PTPTN dimansuhkan.
Lebih elok kita beri kepercayaan kepada Kementerian Pelancongan untuk memikirkan bagaimana kaedah untuk menarik lebih banyak pelancong datang melawat Malaysia. Jika kita lihat dari dulu lagi, apabila ada penganjuran konsert besar-besaran yang membabitkan artis luar, hampir keseluruhan yang datang adalah rakyat Malaysia. Pelancong pula datang ke Malaysia kerana terpesona dengan budaya, cara hidup, tempat-tempat pelancongan menarik seperti pantai, pulau dan banyak lagi tarikan serta tempat yang menarik untuk di lawati.
Cukuplah hiburan yang ada sekarang. Masa depan negara terutama anak muda lebih bernilai.
MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Pemuda,