Dr Mahathir anggap TMJ ‘bodoh’


(FMT) – Dr Mahathir Mohamad hari ini menggunakan bahasa paling keras terhadap Tunku Ismail Sultan Ibrahim dengan menggelar Tunku Mahkota Johor itu atau TMJ sebagai “bodoh”, sekali gus mengancam untuk menghangatkan lagi sengketa terbuka antara mereka berdua.

“TMJ ni budak kecil. Dia bodoh sebab tidak tahu apakah yang sedang berlaku. Jadi janganlah bercakap kalau tak tahu apa yang berlaku, ” kata perdana menteri dalam temu bual khas dengan media di pejabatnya hari ini.

“Saya tidak mahu komen tentang Sultan kerana jika saya cakap apa-apa, itu tidak baik. Tidak baik sebab dia sultan,” katanya.

Dr Mahathir menjawab soalan berhubung dakwaan Tunku Ismail bahawa banyak jasa ayahnya, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tidak didedahkan kepada umum.

TMJ sebelum ini berkata, keluarga diraja Johor menjadi mangsa serangan peribadi dan dikritik secara tidak adil berkaitan projek Sistem Aliran Transit.

Sabtu lalu, melalui aplikasi Twitter, Tunku Ismail menyenaraikan beberapa sumbangan Sultan Johor seperti program perumahan mampu milik, Rumah Impian Bangsa Johor, dengan tanahnya di Bandar Dato Onn di Mersing diberikan dan dibangunkan oleh Sultan Johor.

“Berita mengenai jasanya tidak dihebahkan,” katanya.

Terdahulu beliau mengongsi kenyataan Sultan Ibrahim yang bersedia menyerahkan sekeping tanah di Bukit Chagar kepada kerajaan tanpa kos sekiranya projek pembinaan RTS yang menghubungkan Johor Bahru dengan Woodlands di Singapura diteruskan serta-merta.

Hubungan antara Putrajaya dengan istana Johor tegang sejak kebelakangan ini berkaitan beberapa isu seperti ratifikasi Statut Rom, peletakan jawatan menteri besar Johor, Osman Sapian dan cadangan mengganti perdana menteri.

 



Comments
Loading...