Anwar dakwa hubungan kaum, agama makin meruncing selepas PH tadbir negara


(FMT) – Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata hubungan kaum dan agama di negara ini semakin meruncing dalam usaha Pakatan Harapan menjelmakan reformasi yang didambakan melalui pemerintahannya.

Dalam perutusan khasnya sempena ulangtahun pentadbiran PH, Anwar berkata PH tidak harus memandang ringan berhubung ancaman perkauman.

“Ancaman api perkauman dan kejumudan tidak harus dipandang enteng, malah jika dibiar ia mampu meroboh segala usaha dalam meletakkan negara ini kembali ke landasannya,” katanya.

Sepanjang tempoh setahun PH mengambil alih Putrajaya, berlaku beberapa insiden yang mengancam keharmonian kaum dan agama di Malaysia, antaranya beberapa individu ditahan dan didakwa menghina agama Islam dan Nabi Muhammad.

Terbaru, seorang pendakwah ditahan polis kerana didakwa menghina agama Hindu dalam ceramahnya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata kemenangan yang dinikmati PH hari ini adalah bertitik tolak daripada kesedaran dan pengorbanan mereka yang benar-benar mendambakan perubahan dan reformasi yang bermakna sejak 20 tahun lalu.

“Banyak air mata dan keringat yang dilaburkan untuk memungkinkan ledakan kuasa rakyat tanggal 9 Mei 2018,” katanya.

Beliau juga berkata pencapaian PH adalah sesuatu yang belum pernah terjadi dalam sejarah negara.

“Dan tidak dinafikan masih banyak lagi yang perlu dilunaskan dan diselenggara supaya negara ini akan kembali dihormati dunia,” katanya yang turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang berusaha mengubah landskap politik negara ke tahap yang dicapai hari ini.

 



Comments
Loading...