TIDAK PELIK MASZLEE DISERANG DAP, PERINGATAN TELAH DIBERI “LAMA DAHHH”
Oleh Anuar Shaari
1. Sebelum PRU ke-14 ada yang telah mengingatkan bahawa DAP ini adalah jenis parti yang kuat ‘gigit kawan’. PAS yang pernah bersekutu dengan DAP dalam Pakatan Rakyat telah disingkirkan hanya kerana tidak bersetuju dengan cara dan dasar DAP mengendalikan Pakatan Rakyat ketika itu. Selepas penyingkiran, PAS diserang bertalu-talu oleh DAP dan sekutunya konon PAS adalah sebuah parti yang keras kepala dan tidak boleh bertoleransi dengan DAP.
2. Namun sebenarnya, DAP lah parti yang keras kepala dan tidak akan berkompromi dalam hal-hal yang melibatkan kepentingan mereka. Bagi DAP, apabila PAS atau parti sekutu mereka mahu berbuat sesuatu, ianya mesti mendapat izin DAP dalam mesyuarat pimpinan tertinggi pakatan mereka. Namun apabila DAP mahu berbuat sesuatu yang melibatkan kepentingan mereka, DAP boleh membuat keputusan sendiri tanpa memerlukan mesyuarat pimpinan tertinggi.
4. Sebagaimana dahulu, begitulah juga sekarang. Inilah hakikatnya dalam isu Menteri Pendidikan kerajaan Pakatan Harapan dicaci dan diprotes dengan hebat sekali oleh DAP. DAP tetap konsisten menyerang sesiapa sahaja yang cuba mendedahkan siapa mereka atau sesiapa yang cuba mengganggu kepentingan mereka. Yang lebih penting lagi, DAP tidak memerlukan izin atau restu mesyuarat pimpinan tertinggi Pakatan Harapan untuk memulakan serangan tersebut.
5. Wakil-wakil rakyat DAP secara terbuka menyerang Menteri Pendidikan. 25 dari 30 orang Exco Pemuda DAP (DAPSY) juga menyerang Menteri Pendidikan hanya kerana Menteri Pendidikan mempertahankan kuota Bumiputera bagi kemasukan ke pengajian matrikulasi Kementerian Pendidikan selain mengulas isu Bahasa Mandarin yang tidak wajar dijadikan syarat penerimaan kerja.