Kit Siang gali kubur sendiri
(Utusan) – Tindakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang menarik diri daripada berdebat dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diibaratkan seperti menggali kubur sendiri.
Situasi itu disifatkan oleh Ahli Jawatankuasa Pusat, Parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Arutchelvan yang mempersoalkan tindakan Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu sedangkan beliau sendiri yang mencabar debat itu diadakan pada awalnya.
Jelasnya, veteran DAP itu sebenarnya terperangkap dengan ‘permainan’ sendiri yang kebiasaannya beliau yakin Najib tidak akan menyertai debat itu.
“Bagi orang biasa, tindakan Kit Siang pada awalnya yang mencabar Najib seperti Harimau dan kemudian berundur seperti kucing hanya akan dilihat sebagai satu kekalahan.
“Memang dari awalnya, Kit Siang mempunyai kecenderungan untuk memberikan serangan demi serangan ke atas Najib. Najib pula berjaya memperlekehkan tindakan beliau sebagai seorang yang terlalu obses dengan dirinya.
“Kenyataan Najib yang menawarkan diri untuk debat itu bukan sahaja mendapat sokongan daripada penyokongnya, tetapi ramai dalam kalangan penyokong Pakatan Harapan mempunyai pendirian sama. Kit Siang adalah gergasi politik tanah air dan mempunyai segala kebijaksanaan tetapi beliau tersalah langkah kerana lupa Najib hari ini bukan lagi seorang Perdana Menteri yang ada kuasa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kit Siang mengumumkan penarikan diri semalam dalam blog rasminya atas alasan bimbang program itu akan bertukar menjadi konflik pertembungan kaum antara Melayu dan Cina.
Katanya, sejak beliau mencabar Najib berdebat atas tajuk ‘Bagaimana Malaysia menjadi sebuah negara kleptokrasi dan bagaimana kita menjadi negara berintegriti’ yang kemudian disahut bekas Presiden UMNO itu, ramai yang menasihatinya tentang program yang mahu diadakan.
Dalam pada itu, Arutchelvan berkata, tajuk debat yang diberikan sendiri sudah kelihatan berat sebelah dan Kit Siang mungkin menjangkakan Najib tidak akan bersetuju.
Namun, perlu diingatkan Najib tiada apa-apa sebab untuk kalah atau tiada alasan untuk malu (Malu Apa Bossku), maka, sebab itu beliau setuju dengan tajuk yang diberikan.