Inkues Adib: Sepucuk surat punca peguam tarik diri?


(Sinar Harian) – Tindakan peguam Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT), Syazlin Mansor yang menarik diri daripada menjadi pihak berkepentingan dalam inkues kematian anggota bomba dan penyelamat, Muhammad Adib Mohd Kassim dipercayai ada kaitan dengan sepucuk surat diterimanya.

Difahamkan surat tersebut dikeluarkan oleh pegawai kanan kerajaan yang berkuasa dalam undang-undang.

Menurut sumber, surat itu terkandung arahan terhadap Syazlin dan pihak kementerian agar menarik diri dan tidak lagi mengendalikan kes yang menjadi tumpuan itu.

Ada pihak tercabar dengan kredibiliti Syazlin yang begitu tegas dan agresif mencari kebenaran serta keadilan buat Muhammad Adib.

Katanya lagi, kandungan surat tersebut antaranya menyebut Syazlin telah memalukan pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes itu.

Justeru katanya, keputusan penarikan diri diambil oleh peguam itu setelah satu perbincangan dibuat.

Terdahulu, Syazlin yang juga salah seorang pasukan peguam keluarga Muhammad Adib secara tiba-tiba telah membuat permohonan menarik diri daripada menjadi pihak-pihak berkepentingan.

Beliau kelihatan sebak dengan tindakannya itu.

Ketika dihubungi Sinar Harian, Syazlin enggan mengulas lanjut.

Muhammad Adib, 24, cedera parah dalam rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu dan meninggal dunia pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara selepas 21 hari dirawat.

 



Comments
Loading...