Maaf jika pentadbiran PH susahkan rakyat, kata PM
(FMT) – Dr Mahathir Mohamad memohon maaf sekiranya sepanjang pemerintahan Pakatan Harapan terdapat perkara yang tidak membawa kesenangan kepada rakyat.
Bagaimanapun, perdana menteri berdoa keamanan yang dinikmati negara selama ini dapat diteruskan pada masa akan datang.
“Di negara kita ini, kita hidup aman damai dan rayakan hari kebesaran semua kaum bersama-sama tanpa mengira kaum.
“Dengan itu, negara kita jadi aman dan dapat hidup senang-lenang dan sejahtera,” katanya semasa berucap di depan ribuan tetamu sambil ditemani isterinya, Dr Siti Hasmah Ali pada majlis rumah terbuka Aidilfitri anggota Kabinet di Seri Perdana hari ini.
Mahathir bersyukur perpaduan ditunjukkan rakyat berbilang kaum dalam negara jelas terbukti di rumah terbuka itu.
“Inilah negara kita, Malaysia yang memberi banyak nikmat kepada kita semua. Saya bersama isteri dan keluarga mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada semua.”
Ribuan rakyat pelbagai lapisan mengunjungi rumah terbuka Aidilfitri dihoskan Mahathir dan menteri yang bermula 10 pagi tadi sehingga 4.30 petang ini.
Ini ialah majlis rumah terbuka Aidilfitri ke-2 PH dipimpin Mahathir selepas memenangi pilihan raya umum ke-14.
Seramai 50,000 tetamu dijangka menghadiri rumah terbuka itu dengan ada yang mula berkumpul seawal 8.30 pagi di pintu masuk Seri Perdana.
Selain kemudahan 1,150 parkir kereta berhampiran kawasan Seri Perdana, orang ramai dilihat turut hadir menggunakan perkhidmatan bas percuma yang disediakan di 3 lokasi di Putrajaya Sentral, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Putra.
Orang ramai berpeluang bersalaman dan bergambar dengan Mahathir dan Siti Hasmah serta anggota Kabinet.