Ada agenda licik tumbangkan Tun M
(Utusan) – Kecaman keras sebuah pertubuhan pendesak, Otai Reformis yang diketahui rapat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim ke atas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam jelas membuktikan ada agenda licik sedang disusun.
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, agenda kumpulan tersebut cuma satu iaitu menumbangkan Dr. Mahathir bagi tujuan memberi keuntungan politik kepada pihak tertentu.
“Mereka ini ada agenda tersendiri yang saya rasa boleh merosakkan kedudukan (Pakatan Harapan), kenyataan sebegitu menghasut rakyat untuk membenci kerajaan, membenci Perdana Menteri. Jadi tujuannya apa? Untuk tumbangkan Tun Mahathir,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Pengerusi Otai Reformis, Dr. Idris Ahmad mengkritik secara terbuka Dr. Mahathir dalam isu video seks sejenis yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, apabila mendakwa Perdana Menteri itu bersikap berat sebelah.
Dalam kritikannya, Idris yang merupakan calon pilihan Anwar untuk jawatan Menteri Besar Selangor sebelum ini berkata, sikap Dr. Mahathir dalam isu melibatkan Mohamed Azmin berbeza jika dibandingkan ketika Anwar dipecat dan dihukum pada tahun 1998.
NGO itu juga dalam sidang akhbar yang sama turut mempersoalkan tindak-tanduk Dr. Mahatahir yang dilabelkannya sebagai diktator dan mendesak tarikh peralihan kuasa kepada Anwar dinyatakan dengan segera.