Haziq jalani pemeriksaan di HKL
(Harian Metro) – HAZIQ Abdullah Abdul Aziz, individu yang mengaku sebagai lelaki dalam satu video lucah dikaitkan dengan seorang menteri kini sedang menjalankan pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Difahamkan Haziq tiba pada 8.30 pagi bersama pasukan peguam di Jabatan Kecemasan hospital terbabit.
Peguamnya, Ramesh Sivakumar berkata, setakat pagi ini status anak guamnya itu masih belum diketahui.
“Dia sekarang berada di Hospital Kuala Lumpur untuk menjalani pemeriksaan.
“Status ditahan reman atau dibebaskan dengan jaminan masih belum diketahui,” katanya.
Semalam, Haziq dilaporkan ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. (KLIA).
Haziq ditahan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, semasa berada di terminal pelepasan antarabangsa untuk berlepas ke Manila, Filipina.
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata dia ditahan bagi membantu siasatan mengikut empat peruntukan seksyen.
Haziq menjadi tumpuan selepas mendakwa dirinya adalah salah seorang individu dalam klip video yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Sebelum ini Haziq sudah digantung tugas sebagai setiausaha sulit kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama Shamsul Iskandar Md Akin.