Kita bebas untuk tidak menerima pengaruh barat – Dr Mahathir
LGBT adalah satu perubahan daripada segi nilai moral mereka dan mereka mahu memaksa gaya hidup itu pada negara-negara lain.
(Bernama) – Negara Barat sering dilihat memaksa negara lain menerima apa yang dilakukan mereka seperti ideologi komunisme, kapitalisme, sosialisme dan gaya hidup songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT)
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata LGBT adalah satu perubahan daripada segi nilai moral mereka dan mereka mahu memaksa gaya hidup itu pada negara-negara lain.
“Kita mempunyai budaya kita sendiri dan tidak boleh terima sesuatu yang bertentangan dengannya, adat resam kita dan agama kita.
“Selain itu, Barat sentiasa bercakap mengenai kebebasan, yang bermakna kita bebas menolak amalan hidup yang tidak sesuai dengan kita,” katanya pada sidang media di sini, sebelum mengakhiri lawatan kerja tiga hari ke United Kingdom (UK) semalam.
Dr Mahathir berkata demikian ketika ditanya sama ada soalan mengenai LGBT yang diajukan ketika sesi soal jawab selepas beliau berucap di Kesatuan Cambridge pada Ahad, menunjukkan masih ada tekanan untuk negara menerima cara hidup songsang itu.
“Tetapi demikianlah tekanan mereka sehingga mereka mempengaruhi rakyat Malaysia sendiri, termasuk setengah-setengah orang Islam dan Melayu yang beranggapan satu daripada manifestasi kebebasan adalah hak untuk menerima apa yang dilakukan di Barat.
“Ada benda di Barat yang kita perlu guna sebagai contoh (untuk ditolak), umpamanya di Barat institusi perkahwinan sudah tidak dipedulikan, demikian juga institusi keluarga tidak diterima lagi. Mereka boleh hidup bersama tanpa berkahwin.
“Itu cara mereka, kita tidak harus terima. Kita ada nilai hidup kita dan pegang kepada nilai itu dan mesti berbangga dengan nilai hidup kita. Jangan kita menurut kepada Barat,” katanya.
Dalam lawatan kerja tiga hari beliau ke UK, Dr Mahathir diiringi Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Belia dan Sukan, Syed Sadiq Abdul Rahman.