Pemuda Pas restu kerjasama UMNO-Pas, harap veteran setuju


(Sinar Harian) – Kerjasama Pas-UMNO mendapat restu sayap Pemudanya melalui perbahasan di hari kedua Muktamar Tahunan Pemuda Pas ke-60, hari ini.

Ketika wakil Kedah, Nasrun Othman tampil bertanya kepada perwakilan sama ada bersetuju atau tidak dengan kerjasama itu, rata-ratanya memberikan sokongan.

“Tuan-tuan setuju atau tidak kesatuan ummah Pas dengan UMNO?,” katanya sambil disambut sorakan ‘Setuju’ daripada hampir semua perwakilan.

Menurut Nasrun, kerjsama dua parti itu dipersetujui kerana berlandaskan dasar demi Islam.

“Kita nak kerjasama ini dapat melaksanakan dan memastikan Islam memerintah. Tetapi kita kena pastikan matlamat kerjasama ini ikhlas kerana ALLAH SWT.

“Jangan ada antara kita nakkan jawatan, kedudukan atau sebab lain sehingga menyebabkan kita tak dapat bersatu. Kerjasama ini juga mestilah memberi manfaat dengan syarat Pas perlu menjadi ketua dan berada di atas,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, penerangan mengenai kerjasama itu perlu diberikan kepada ahli Pas yang masih tidak bersetuju khususnya golongan veteran.

“Masih ada ahli-ahli veteran tidak setuju nak kerjasama sebab serik dengan UMNO dan melihat UMNO masih dengan perangai lama.

“Tetapi, kita yakin kalau beri penerangan jelas, mereka boleh bersama kerana tujuan kita ialah untuk pastikan Islam memimpin,” katanya.

Sementara itu, perwakila Selangor, Ahmad Ubaidillah Abdullah menegaskan sudah sampai masanya Pas mengumumkan deklarasi jelas yang menyatakan hak dan keadilan kepada golongan bukan Islam.

Katanya, Pas perlu bergerak proaktif untuk menangkis persepsi jahat musuh politik Pas yang mendendangkan kononnya kerjasama antara Pas-UMNO akan mengancam kelompok bukan Islam.

“Sedangkan Pas tidak pernah dalam sejarahnya menghalang golongan bukan Islam mengunjungi rumah ibadat dan menjalankan amalan agama mereka.

“Sudah sampai masanya satu deklarasi jelas diumumkan yang menyatakan hak dan keadilan kepada kelompok bukan Islam untuk tangkis persepsi jahat yang sedang diusahakan. Kerana buat masa ini, kita gagal sampaikan mesej kerjasama Pas-UMNO kepada golongan sasar,” katanya.

Menurutnya, ini adalah langkah yang harus digerakkan untuk mengorak ke arah perubahan jemaah demi keadilan untuk semua bangsa dan agama.

 



Comments
Loading...