Australia tolak komen Dr M mengenai MH17
(FMT) – Australia mengkritik Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad mempertikaikan penemuan siasatan ke atas insiden pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17 yang ditembak jatuh hampir 5 tahun lalu dan menegaskan Rusia “terbabit secara langsung” dalam kejadian itu.
Menteri Luar Australia, Marise Payne berkata kerajaannya mempunyai keyakinan penuh terhadap “pasukan siasatan bersama (JIT) yang bebas, adil dan profesional” yang turut dianggotai wakil Malaysia.
Beliau dipetik Sydney Morning Herald sebagai berkata, itu sebabnya kerajaan Australia “tegas bersama Belanda” untuk memberitahu Rusia yang mereka bertanggungjawab di bawah undang-undang antarabangsa.
“Saya dapati dalam sidang media JIT pada 19 Jun 2019, wakil Malaysia kepada JIT mengesahkan siasatan menyeluruh dan bukti JIT, begitu juga sokongan Malaysia untuk kesimpulan JIT ke atas 4 suspek yang diumumkan.”
Payne merujuk kenyataan Peguam Cara Negara, Mohamad Hanafiah Zakaria yang dilaporkan berkata, Malaysia mempertahankan hasil siasatan JIT dan penemuan itu berdasarkan “siasatan intensif serta kajian undang-undang”.
Kelmarin, Mahathir dilapor menyifatkan tindakan mendakwa 3 warga Rusia dan seorang warga Ukraine atas pertuduhan membunuh kerana menembak jatuh MH17 pada Julai 2014 sebagai “tidak masuk akal” dan “bermotifkan politik” terhadap Rusia.
Katanya, Malaysia tidak gembira sejak mula lagi kerana ia menjadi isu politik untuk mencari jalan mendakwa Rusia membuat kesalahan.
Beliau berkata, Malaysia tetap mahu bukti kukuh sebelum sebarang pendakwaan dibuat terhadap mana-mana pihak.
Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte membidas Mahathir menimbulkan “kekeliruan” dengan mengkritik keputusan mendakwa 4 suspek itu dan beliau akan menghubungi Putrajaya mengenai komen Mahathir.
Boeing 777 yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh misil BUK buatan Rusia pada 17 Julai 2014 ketika melintasi sempadan timur Ukraine yang dikuasai puak pemisah pro-Rusia.
Pada Mei 2018, Belanda dan Australia dilaporkan berkata, misil itu dilancarkan sepasukan briged tentera Rusia, tetapi Moscow menafikan dakwaan itu dan menuding jari ke arah Kiev.