Video seks sejenis: Haziq cabar Azmin saman


(FMT) – Haziq Aziz, individu di tengah-tengah kontroversi video seks sejenis yang tulas sebelum ini mencabar Mohamed Azmin Ali supaya membuat laporan polis terhadap dirinya dan menyeret beliau ke mahkamah sekiranya menteri hal ehwal ekonomi itu benar-benar tidak bersalah.

Ketua Pemuda PKR Santubong itu baru-baru ini menggemparkan negara apabila beliau mengaku merupakan salah seorang lelaki yang dirakam mengadakan hubungan seks sejenis di sebuah hotel di Sandakan bulan lepas.

Bekas setiausaha sulit Timbalan Menteri Industri Utama Shamsul Iskandar Mohd Akin itu juga menamakan Azmin sebagai pasangannya dalam klip video berkenaan.

Azmin menolak keras dakwaan itu dengan menyifatkannya sebagai agenda jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya. Beliau juga mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang.

Akhbar Sunday Star hari ini melaporkan cabaran Haziq terhadap timbalan presiden PKR itu.

“Mari dedahkan semua keterangan dan bukti secara terbuka,” beliau memberitahu akhbar berbahasa Inggeris itu, selain mengambil maklum bahawa polis telah mengambil kenyataan daripada Azmin, sementara setiausaha politik beliau, Muhammad Hilman Idham membuat laporan polis.

Haziq, yang kini disiasat atas beberapa kesalahan, termasuk mengadakan hubungan seks di luar tabii dan mengedar bahan lucah, menegaskan bahawa beliau bukan penipu.

Katanya, beliau mahu perkara itu dibawa ke mahkamah supaya rakyat Malaysia “boleh melihat sendiri buktinya”.

“Rakyat Malaysia boleh melihat sendiri siapakah yang bercakap benar.”

Haziq berkata, Azmin telah secara salah menuduhnya dan beliau merupakan mangsa keadaan.

“Jika saya memfitnahnya (Azmin), maka beliau berhak menyaman saya di mahkamah undang-undang,” Haziq dilaporkan berkata, selain menambah bahawa beliau tidak perbah bercakap buruk tentang Azmin.

 



Comments
Loading...