Pemuda PH buat laporan ROS, minta tindakan tegas ke atas UMNO


(Berita Harian) – Pemuda Pakatan Harapan (PH) hari ini, membuat laporan kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung UMNO didakwa menerima dana berjumlah RM212 juta yang mempunyai kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Laporan dibuat Ketua Penerangannya, Ulya Aqamah Husamudin dan diserahkan kepada Pengarah Bahagian Pengurusan ROS, Mohd Rejab Ramli pada jam 2.45 petang.

Ulya Aqamah berkata, pihaknya berpendapat tindakan keras berdasarkan undang-undang perlu dikenakan ke atas UMNO susulan pendedahan SPRM mengenai penyelewengan 1MDB.

Beliau berkata, ia perbuatan tidak boleh dimaafkan kerana wang 1MDB sepatutnya digunakan untuk pembangunan ekonomi negara dan bukannya disalurkan demi kepentingan parti serta kegunaan UMNO.

“Tindakan memindahkan dana dengan jumlah begitu besar jelas menunjukkan terdapat salah guna kuasa dan kesalahan penggunaan wang rakyat oleh UMNO.

“Andai dibiarkan tanpa tindakan tegas, kami risau amalan terkutuk ini akan menjadi ikutan pada masa depan, malah perkara sama akan berulang kembali. Jadi, ROS perlu mengambil tindakan tegas ke atas UMNO,” katanya kepada media, hari ini.

Ketua Penerangan Pemuda Pakatan Harapan (PH), Ulya Aqamah Husamudin (tengah), membuat laporan kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung UMNO didakwa menerima dana berjumlah RM212 juta yang mempunyai kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). – Foto Ahmad Irham Mohd Noor

BH Online semalam melaporkan Ketua Pemuda PH, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menggesa UMNO dihukum kerana didakwa menerima dana berjumlah RM212 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, sebagai parti politik, ia tidak boleh menerima wang haram demi kepentingan parti itu.

Ia susulan pendedahan SPRM baru-baru ini yang sudah memfailkan permohonan terhadap 41 individu dan entiti, bagi mendapatkan balik wang berjumlah lebih RM270 juta yang dikaitkan dengan dana diseleweng daripada 1MDB.

Permohonan itu difailkan mengikut Seksyen 56, Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001, bagi mendapatkan semula wang berkenaan, yang dipercayai dipindahkan dari satu akaun AmBank milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

 



Comments
Loading...