Akaun Azmin, SPRM sah tiada transaksi dikesan


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mengesan sebarang transaksi mencurigakan serta kewujudan akaun yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dengan perbuatan rasuah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, berkata pihaknya sudah melakukan siasatan selepas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, membuat laporan kepada agensi itu baru-baru ini.

“Dalam kes berkenaan, siasatan sudah dijalankan dan kami dapati tidak wujud transaksi serta akaun yang yang didakwa mempunyai kaitan.

“Perkara ini juga sudah dinyatakan sendiri oleh UEM Group Berhad (UEM Group) dan Maybank sebelum itu.

“Malah dakwaan mengenai kewujudan satu akaun pada 2012 juga kami turut siasat dan mendapati ia tidak wujud,” katanya kepada pemberita di Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

Ditanya adakah terdapat individu yang akan dipanggil, beliau menyatakan ia dilakukan dalam siasatan terhadap kes itu.

“Sudah tentu akan ada pihak yang dipanggil dan sudah dipanggil terutama pihak bank sebagai saksi. Ia diperlukan untuk direkod keterangan,” katanya.

Dua salinan transaksi pemindahan wang yang tertera nama Mohamed Azmin tular bersama tiga rakaman video intim, baru-baru ini.

UEM Group kemudiannya menafikan mempunyai akaun di cawangan utama Maybank dan laporan polis bagi membersihkan nama kumpulan berasaskan kejuruteraan infrastruktur dan perkhidmatan itu.

Maybank turut menafikan perkara itu.



Comments
Loading...