Umno kena mandi air bunga untuk buang suey
Apa pun, mungkin dengan cara “mandi bunga” untuk “buang suey” dan membiarkan RoS untuk menutup Umno (ketika anda tengah membaca artikel ini, RoS dan SPRM tengah pun bekerja untuk menjayakannya). Maka “Umno Baru” kepunyaan Mahathir akan dikuburkan dan “Umno Malaysia” Tun Hussein Onn baru boleh diaktifkan semula, seperti mana rancangan asal pada tahun 1988.
THE CORRIDORS OF POWER
Raja Petra Kamarudin
Saya ada semasa kejadian Umno “Lama” diisytiharkan haram dan Umno “Baru” di daftarkan. Malah, saya ketika itu berada di pejabat Timbalan Perdana Menteri Tun Ghafar Baba apabila semua benda ini terjadi dan saya juga turut menyaksikan bagaimana perlembagaan parti baru di gubal.
Bagaimana dan kenapa semua ini terjadi, inilah sebabnya.
Apabila Tun Razak Hussein meninggal dunia pada Januari tahun 1976 di London, Tun Hussein Onn mengambil alih sebagai Perdana Menteri. Pada asalnya Tun Hussein ingin melantik Tun Ghazali Shafie a.k.a “King Ghaz” sebagai Timbalan Perdana Menterinya yang baru.
Tetapi, pada ketika itu Tun Ghazali bukanlah Naib Presiden Umno. Tiga Naib Presiden Umno ketika itu adalah Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li), Tun Ghafar Baba, dan Tun Dr Mahathir Mohamad (mengikut turutan berdasarkan undi). Jadi, mengikut pada konvensyen, Tun Hussein mesti memilih timbalannya yang baru dari salah seorang daripada ketiga-tiga Naib Presiden Umno tersebut.
Ghazali Shafie a.k.a ‘King Ghaz’ dan bukanlah Mahathir yang sepatutnya menjadi Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1976
Ku Li menolak jawatan tersebut kerana beliau hendak memberi tumpuan kepada menguruskan Petronas, melaksanakan “Dasar Ekonomi Baru” (DEB), dan lain-lain. Oleh itu, jawatan Timbalan Perdana Menteri itu jatuh ke Tun Ghafar. Tetapi, Tun Ghafar pula tidak mempunyai kelayakan dari segi pendidikan. Maka, jawatan itu jatuhlah kepada Naib Presiden yang ketiga iaitu Dr Mahathir.
Ku Li memberitahu Tun Hussein untuk memberi jawatan itu kepada Mahathir dan apabila Mahathir naik untuk menjadi Perdana Menteri, dia (Ku Li) akan menjadi Timbalan Perdana Menteri Mahathir. Ku Li dan Mahathir pun berjabat tangan tanda bersetuju dengan penjanjian itu.
Lima tahun kemudiannya, pada tahun 1981, Tun Hussein meletakkan jawatannya dan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Mahathir. Mahathir pula ketika itu enggan untuk melantik Ku Li sebagai timbalannya sepertimana didalam perjanjian yang dipersetujui olehnya pada tahun 1976. Mahathir berkata beliau akan membiarkan parti untuk memutuskannya dan Ku Li terpaksa untuk “berlawan untuk mendapat jawatan tersebut”.
Jadi, dari tahun 1981 lagi, Mahathir telah membuktikan bahawa beliau tidak akan menghormati perjanjian — walaupun perjanjian itu ditandatangani secara sah (seperti kes 5% royalty minyak).
Pada tahun 1976, Mahathir berjanji akan beri jawatan TPM kepada Ku Li tetapi sebaliknya Mahathir menyokong Musa Hitam pada tahun 1981
Tun Musa Hitam pula memutuskan untuk masuk dalam gelanggang dan bertarung dengan Ku Li untuk jawatan tersebut. Bagaimanapun, ahli-ahli Umno lebih menyukai Ku Li berbanding dengan Musa Hitam. Apabila Mahathir di tanya oleh pihak media, siapakah yang disukai olehnya diantara Musa Hitam dan Ku Li, Mahathir menjawap, biarlah parti yang menentukannya. Tetapi, jika dia diminta untuk membuat pilihan, Mahathir kata dia akan memilih Musa.
Musa ketika itu ditempat yang kedua didalam perlumbaan menjadi TPM, tiba-tiba dalam sekelip mata dia menjadi nombor satu. Mahathir telah menunjukkan sokongannya kepada Musa dan disebabkan itulah pro-Ku Li bertukar menjadi pro-Musa dan Musa pun menang. Untuk pusingan kedua pula, Musa menang lagi dan Ku Li dihukum dari menjadi Menteri Kewangan di turunkan kepada Menteri Perdangangan dan Industri.
Musa mahu Mahathir untuk memecat Ku Li bukan sekadar menurunkan pangkatnya. Apabila Mahathir enggan memecat Ku Li (jika Ku Li di pecat, Musa akan menjadi lebih kuat), Musa menjadi marah dan meletakkan jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Ghafar pun dilantik untuk menggantikannya.
Mahathir mengkuburkan Umno pada tahun 1988 untuk menyingkirkan Ku Li dan kini Mahathir akan mengkuburkan Umno sekali lagi untuk menyingkirkan Najib Razak
Ku Li kemudiannya membuat keputusan mencabar Mahathir untuk bertanding kerusi Presiden Umno, manakala Musa pula mahu mangambil tempat Ghafar (tak pasti kenapa tindakan Musa ketika itu kerana beliau nak diikutkan memang memegang jawatan nombor dua). Yang tidak diketahui oleh Ku Li, Mahathir telah menanam beberapa perwakilan yang tidak sah dalam AGM, jadi jika Mahathir kalah dia boleh menggunakannya sebagai alasan pemilihan parti itu tidak sah.
Ramai yang berkata bahawa Ku Li sebenarnya telah memenangi pemilihan parti tetapi disebabkan penipuan yang berlaku dan akhirnya Ku Li pun kalah. Mendiang MGG Pillai berkali-kali menulis tentang perkara ini dan menjelaskan dengan terperinci, bagaimana penipuan itu dilakukan ketika pemilihan parti itu berlaku.
Beberapa ahli Umno dapat tahu mengenai pewakilan yang ditanam itu dan mereka membawanya ke mahkamah untuk mendapatkan pengisytiharan pemilihan parti itu tidak sah supaya pemilihan yang baru diadakan. Kali ini Ku Li akan menang kerana mereka akan lebih berjaga-jaga untuk memantau penipuan yang akan berlaku. Disebabkan itu, Mahathir tidak mampu untuk membenarkan pemilihan parti yang baru diadakan.
Mahathir kemudiannya memberitahu kepada RoS untuk Umno diisytiharkan tidak sah (bukannya pemilihan parti yang tidak sah). Jadi Umno pun gulung tikar dan tidak lagi wujud.
Hussein Onn cuba untuk mendaftarkan “Umno Malaysia” pada tahun 1988 tetapi nama itu ditolak oleh RoS
Tun Hussein kemudiannya mengambil inisiatif untuk mendaftarkan sebuah parti baru yang dipanggil “Umno Malaysia”. Bila Mahathir dapat tahu, dia meminta Ghafar mendaftarkan segera parti baru yang dipanggil “Umno Baru”. Mereka memerlukan nama “Umno” diatas nama parti yang baru untuk mendapatkan kembali aset-aset Umno “Lama” yang nilainya berbilion (ada yang menganggarkan diantara RM50-RM100 bilion)
Permohonan “Umno Baru” diserahkan dua minggu SELEPAS permohonan “Umno Malaysia” tetapi permohonan “Umno Malaysia” telah ditolak untuk memberi peluang kepada “Umno Baru” dengan alasan nama Umno telah “diambil”. Jadi “Umno Malaysia” telah diubah menjadi “Semangat 46”.
Apabila Umno Baru dibentuk, mereka membawa semua ahli-ahli Umno Lama (anggaran dua pertiga ahli Umno Lama) tetapi mereka tidak membenarkan pemimpin dan penyokong “Pasukan B” menyertai parti yang baru dan kemudiannya mereka ini terpaksa menyertai Semangat 46. Aset dan wang tunai yang jumlahnya berbilion dari Umno Lama dipindahkan ke Umno Baru (tidak ada satu ringgit pun dipindahkan ke Semangat 46).
Pada tahun 1969, Tunku Abdul Rahman berkata Malaysia akan musnah jika Mahathir menjadi Perdana Menteri dan pada tahun 1990 beliau menyumpah Umno Baru dan enggan untuk menyertainya sehingga beliau mangkat
Itulah sebabnya Umno Baru ditubuhkan. Pertama, untuk menyingkir Ku Li dan penyokong “Kumpulan B”. Kedua adalah untuk merampas aset dan wang tunai Umno yang bernilai billion ringgit. Ianya tidak ada kena-mengena dengan kepentingan rakyat.
Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein enggan untuk menyertai Umno Baru. Tun Hussein tidak melibatkan lagi dirinya dan menumpukan perhatian sepenuhnya kepada hospital mata kepunyaannya. Manakala Tunku Abdul Rahman menyertai Semangat 46 dan bersumpah bahawa beliau tidak akan menyertai Umno Baru sehingga beliau mangkat.
Pada Pilihan Raya Umum tahun 1990, Tunku Abdul Rahman berkempen untuk Semangat 46 dan menyumpah Mahathir dan Umno Baru. Tunku berkata selagi Mahathir berada di dalam Umno maka kedua Malaysia dan Umno mendapat sumpahan.
Sudah tiba masanya untuk Umno 2.0 ditidurkan dan Umno 3.0 dilahirkan
Dari tahun 1988, Umno dan Malaysia terkena sumpahan dengan mendapat dari satu masalah ke satu masalah. Umno kena mandi air bunga untuk buang suey. Feng shuinya sangat teruk sehinggakan 30 tahun selepas 1988 Umno dihapuskan oleh Pakatan Harapan yang diketuai oleh DAP.
Akhirnya, ramalan Tunku Abdul Rahman menjadi kenyataan apabila beliau berkata yang satu hari nanti Umno akan mati di tangan Mahathir. Ya, pada tahun 1990 Tunku berkata yang Umno akan mati di tangan Mahathir dan pada Mei 2018, Umno memang mati di tangan Mahathir. Tunku juga berkata, 50 tahun dulu pada tahun 1969, yang Malaysia akan musnah jika Mahathir menjadi Perdana Menteri. Adakah Malaysia sudah musnah?
Apa pun, mungkin dengan cara “mandi bunga” untuk “buang suey” dan membiarkan RoS untuk menutup Umno ( ketika anda tengah membaca artikel ini, RoS dan SPRM tengah pun bekerja untuk menjayakannya). Maka “Umno Baru” kepunyaan Mahathir akan dikuburkan dan “Umno Malaysia” Tun Hussein Onn baru boleh dihidupkan semula, seperti mana pads rancangan asalnya pada tahun 1988.