Putrajaya pertimbang pekerja asing dari Afrika
(FMT) – Kerajaan akan mempertimbangkan pengambilan pekerja asing dari Afrika bagi menampung keperluan tenaga pekerja asing dalam sektor perladangan pada masa akan datang.
Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran berkata, ini kerana pekerja asing dari Vietnam dan Indonesia tidak mahu lagi datang untuk bekerja di negara ini disebabkan gaji yang diterima tidak jauh berbeza dengan negara asal.
“Saya telah mengadakan perbincangan dengan duta negara Afrika baru-baru ini dan mereka akan mendapatkan pandangan daripada kerajaan di negara itu mengenai perkara berkenaan.
“Ini satu permulaan dan kita akan melihat kesesuaian kerana pihak kementerian ada menerima permintaan daripada majikan yang mahukan pekerja dari negara itu untuk bekerja dalam sektor perladangan,” katanya kepada pemberita selepas sesi dialog dengan para peladang Cameron Highlands malam tadi.
Dalam perkembangan lain, Kula Segaran berkata pihaknya kini dalam peringkat akhir perbincangan dengan Bangladesh sebelum memeterai memorandum persefahaman (MoU) mengenai kemasukan pekerja asing dari negara itu ke negara ini.
“Semua perjanjian dengan Bangladesh sebelum ini sudah tamat tempoh. Walaupun kita berhasrat untuk menandatangani MoU namun ada beberapa cadangan dan perkara yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.
“Antara permasalahan yang perlu diselesaikan adalah gaji serta perlindungan terhadap pekerja asing yang bekerja di sini dan kita juga mahu tahu apakah tindakan (kerajaan Bangladesh) untuk mengambil balik pekerja asing yang tidak berdokumentasi di negara ini,” katanya.