Rayuan Haziq kepada Tun M


(Malaysia Gazette) – Biarpun belum mengemukakan sebarang surat tunjuk sebab kepada partinya, Ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz hari ini tampil membuat satu rayuan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Dalam satu entri di Facebooknya, Haziq merayu agar Mahathir mempertimbangkan semula bukti salahlaku Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dikaitkan dengan video lucah melibatkan mereka berdua.

Katanya, dirinya dipaksa membuat video penafian dan pengakuan tipu bahawa orang kedua di dalam video tersebut bukanlah Azmin oleh Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Hilman Idham yang juga merupakan Setiausaha Politik kepada Mohamed Azmin.

“Tun Mahathir, rakyat Malaysia masih menghina saya kerana video pengakuan sebelum ini.

“Saya tahu kedudukan Azmin sebagai seorang menteri dan ahli politik yang berkuasa sebagaimana sering diperkatakan sepanjang tempoh kami mengenali satu sama lain.

“Saya berasa amat marah tetapi takut pada masa yang sama kerana sedar tiada siapa yang akan melindungi saya dari pihak berkuasa,” katanya kepada Mahathir secara terbuka di Facebook.

Dalam pada itu, Haziq mengulangi dakwaan bahawa video lucah yang disebarkan adalah perbuatan khianat dan menjadikan dirinya sebagai “kambing hitam”.

“Adakah rakyat Malaysia ingat saya begitu cetek untuk menjahanamkan masa depan saya dan keluarga?

“Penyebaran video itu telah membuka aib dan saya benar-benar ingin kembali ke jalan yang benar dengan penuh keinsafan sejak dulu tetapi lemah.

“Sejak peristiwa hitam ini saya sentiasa menunggu respon Azmin melalui perkembangan media masa,” katanya lagi.

Dalam waktu yang sama, Haziq menjawab persoalan kenapa beliau menyarankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Mohamed Azmin atas tuduhan korupsi.

“Sewaktu kami intim saya sering mendengar kisah perbelanjaan isteri dan anak-anaknya di mana jumlah yang disebut kadang kala mengejutkan.

“Saya juga bekerja sebagai penjawat awam dan saya tahu gaji dan elaun kerajaan dan jawatan politik diterima Azmin tidak mungkin dapat menampung gaya hidup keluarganya.

“Kadangkala apa yang diceritakannya membuat saya malu dengan sikap hipokritnya setelah apa yang diperjuangkan parti selama ini.

“Hubungan kami pada mulanya berlandaskan sifat kagum dan ingin melakar masa depan dalam karier seperti Azmin. Namun hari demi hari saya mula sangsi dengan hubungan kami,” ujarnya lagi.

Pada 12 Jun lalu, Haziq tampil mengaku sebagai salah seorang individu dalam klip video seks yang tular.

Haziq turut mendakwa individu bersamanya dalam aksi intim itu adalah Azmin.

Azmin menafikan dakwaan itu dan menyifatkan ia percubaan untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

 



Comments
Loading...