Skandal RM10 juta: Jabatan Peguam putus tiada pendakwaan terhadap Tok Mat, kata menteri


(FMT) – Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan tiada pendakwaan perlu dibuat terhadap Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan selepas meneliti semula dakwaan penyelewengan dana RM10 juta melibatkan pembelian pangsapuri di London, kata Putrajaya hari ini.

Menteri Undang-undang, Liew Vui Keong berkata siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Mohamad berkenaan kes ketika beliau menjadi menteri besar Negeri Sembilan itu sudah selesai dan diserahkan kepada AGC pada 2011.

“Pada 2013, AGC memutuskan tiada tindakan pendakwaan dalam kes ini dan siasatan telah dihentikan. Bagaimanapun, pada April 2019 kertas siasatan sudah dikemukakan untuk penelitian semula dan pada 2 Mei 2019, AGC mengekalkan keputusan tiada tindakan lanjut (no further action) setelah meneliti hasil siasatan,” katanya.

Liew berkata demikian dalam jawapan bertulisnya kepada RSN Rayer (PH-Jelutong) yang ingin tahu perkembangan siasatan terhadap Mohamad.

Mohamad sebelum ini pernah pernah menafikan sebarang salah laku selepas ia timbul kembali ketika kempen pilihan raya kecil DUN Rantau pada April lalu.

Beliau bertegas wang tersebut dipindahkan ke London dengan betul dalam pembelian itu.

 



Comments
Loading...