Umno: Melayu tak layan pelawaan – PPBM pasti mati selepas Dr M


(FMT) – Umno percaya orang Melayu akan menepis pelawaan Dr Mahathir Mohamad yang mengajak parti-parti Melayu menyertai PPBM, kerana parti itu pasti mati selepas ketiadaan beliau.

Sebaliknya, Setiausaha Agung Annuar Musa memberi jaminan penyatuan wadah Umno dan PAS bakal membentuk gelombang besar yang akan “membersihkan kotoran dan sampah yang ditinggalkan sekutu DAP”.

“PPBM bukanlah jawapan kepada cita-cita dan aspirasi perjuangan orang Melayu,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

“Seeloknya ahli PPBM segera berhijrah ke bahtera Umno-PAS dan sama-sama menyahut muafakat nasional yang dipimpin gerakan orang Melayu dan Bumiputera Islam bersama rakan semua bangsa dan agama.”

Terdahulu, Mahathir, yang juga pengerusi PPBM mempelawa semua parti politik, termasuk Umno, untuk menyertai partinya dalam usaha menyatupadukan serta memperkasakan kuasa politik orang Melayu.

Beliau berkata orang Melayu hari ini berpecah kepada 6 parti, dan kewujudan banyak parti politik Melayu menyebabkan potensi menang pilihan raya semakin tipis.

“Enam, bukan lagi majoriti 60% tetapi setiap parti 10% sahaja,” katanya pada satu majlis rumah terbuka di Johor Bahru hari ini.

Annuar menjawab hujah tersebut dengan berkata PPBM yang bertanggungjawab memecahkan dan mengecilkan orang Melayu kerana “persengketaan peribadi”.

“PPBM juga meneruskan agenda pecah dan perintah dengan masuk ke Sabah dan Sarawak,” katanya.

 



Comments
Loading...