Ramasamy tuduh PAS rasuah


(FMT) – Langkah mewajibkan Ahli Parlimen mengisytiharkan aset adalah bagi memastikan wakil rakyat memperolehi kekayaan mereka secara sah, kata pemimpin DAP P Ramasamy, yang membidas Presiden PAS Abdul Hadi Awang kerana membawa masuk Islam ke dalam perbahasan mengenai isu tersebut.

Beliau berkata, Hadi menggunakan isu itu bagi menyembunyikan rasa takut bahawa perisytiharan aset akan mengakibatkan beberapa pemimpin atau ahli PAS disiasat oleh pihak berkuasa.

Katanya, tidak akan ada orang “yang berfikiran waras” akan menolak cadangan mewajibkan perisytiharan aset ke atas wakil rakyat, selain menambah bahawa wujud “had terhadap penggunaan hujah agama atau ideologi bagi menolak perisytiharan aset”.

“Tetapi presiden PAS Abdul Hadi Awang tidak begitu. Beliau terus menggunakan hujah agama terhadap apa-apa sahaja yang tidak dipersetujuinya atau parti pimpinannya.”

Timbalan ketua menteri II Pulau Pinang itu berkata, walaupun perisytiharan harta bukanlah sesuatu yang tiada kelemahan, namun ia masih merupakan kaedah pencegahan mudah yang “neutral dari segi ideologi dan bebas dari sudut politik”.

“Perisytiharan ini untuk semua, tiada pertimbangan khas diberikan kepada etnik atau agama.

“Dari segi ini, adalah salah, malah kebudak-budakan serta tidak bertanggungjawab untuk Hadi berkata bahawa cadangan perisytiharan aset itu merupakan kesan pengaruh sosialis DAP ke atas kerajaan.

“Saya tidak faham bagaimana peraturan mudah dan terbuka ini boleh membawa sifat sosialis atau komunis.

Semalam Hadi dilaporkan berkata, langkah ke arah perisytiharan aset dimulakan oleh golongan komunis dan sosialis.

“Mungkin dibayangi oleh DAP yang mempengaruhi kerajaan kita hari ini,” katanya.

Hadi berkata, walaupun Islam membolehkan perisytiharan harta, namun ia bergantung kepada keadaan. Misalnya jika seseorang dituduh melakukan rasuah atau pengubahan wang, maka adalah “wajib” baginya mengisytiharkan harta.

“Sosialis memang kononnya hendak mengehadkan kekayaan, tetapi ternyata negara sosialis yang bertukar menjadi liberal hari ini, pemimpin sosialis itu paling kaya sekali,” beliau dilaporkan berkata.

Menolak andaian tersebut, Ramasamy berkata, sekiranya DAP atau pihak lain yang menggesa perisytiharan harta dibuat atau jurang pendapatan dirapatkan, maka ia boleh ditakrifkan sebagai sosialis.

“Saya boleh faham sekiranya Hadi menolak langkah itu kerana ia dibuat oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH), tetapi bukan ini sebabnya beliau menentang cadangan itu.

“Beliau fikir cadangan itu bukan sahaja bertentangan dengan Islam, tetapi merupakan muslihat DAP untuk mewujudkan sebuah masyarakat sosialis dalam jangka panjang,” katanya.

Bekas pensyarah universiti itu berkata, Karl Marx dan Friedrich Engels, tokoh utama komunisme, lebih banyak bercakap tentang ketidaksetaraan kekayaan dalam masyarakat kapitalis, berbanding perisytiharan aset.

Marx mungkin menolak cadangan ini sebagai sesuatu yang tidak penting dalam penciptaan kekayaan atau penghuraian mengenai hubungan kelas, katanya.

“Jika perisytiharan aset atau kekayaan tidak mempunyai kaitan dengan pemaksaan sosialisme, maka apakah yang boleh membantu menjelaskan tentangan Hadi?

“Penentangan Hadi terhadap perisytiharan harta atas nama Islam hanyalah satu percubaan licik memburukkan orang bukan Melayu atau bukan Islam di negara ini atau wakil utama mereka dalam kerajaan, iaitu DAP.

“Hadi belum melupakan perbalahannya dengan DAP yang menyebabkan perpecahan Pakatan Rakyat. Apa-apa juga dasar atau langkah yang dibantah oleh PAS mesti dikaitkan dengan DAP. Baginya, DAP adalah punca semua kejahatan.”

Ramasamy mendakwa, selain memburukkan DAP, Hadi mahu menyembunyikan “sebab sebenar” tentangannya terhadap perisytiharan harta.

“Beberapa pemimpin PAS didakwa terlibat dengan rasuah dalam pilihan raya umum lepas, terutamanya menerima wang daripada Umno. Sesetengah pemimpin parti itu dikatakan hidup mewah, memiliki hartanah dan kereta mahal.

“Hadi bimbang kebocoran maklumat akan mengakibatkan parti itu terdedah kepada penyiasatan dan pendakwaan. Beliau berfikir, dengan mengalihkan perhatian daripada isu aset, dia dapat menyembunyikan salah laku sebilangan pemimpin parti itu.”

Ramasamy mendakwa, Hadi menggunakan Islam untuk meletakkan kesalahan ke atas kerajaan PH kerana dipergunakan dan dimanipulasi oleh DAP”.

“Dengan persekitaran yang kuat dipengaruhi sentimen kaum dan agama di negara ini, Hadi berfikir dengan meletakkan kesalahan ke atas DAP, maka beliau boleh memperkukuh reputasiya dalam kalangan orang Islam-Melayu.

“Sikap hipokrit dan oportunisme Hadi tiada sempadannya. Cakap-cakapnya tidak masuk akal dan perbuatannya memburukkan DAP melucukan.”

Ramasamy berkata, bekas mursyidul am PAS, Nik Aziz Nik Mat cuba menjadikan parti itu relevan, tetapi Hadi sebaliknya membawa PAS “ke jalan buntu tanpa penghujung”.

 



Comments
Loading...