Mat Sabu anggap Dr Mahathir ajak parti Melayu sertai PPBM logik
(FMT) – Pelawaan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad supaya parti politik Melayu menyertai PPBM suatu perkara logik, kata Mohamad Sabu.
Presiden Amanah itu berkata, mana-mana parti politik pasti mahu partinya menjadi lebih kuat, sama ada menerusi pertambahan jumlah ahli atau kerjasama politik.
Bagaimanapun, katanya, ia terpulang kepada parti yang dijemput serta ahlinya, sama ada bersetuju atau tidak dengan pelawaan tersebut.
“Pelawaan Mahathir sesuatu yang logik.
“Apa pun, orang Melayu mesti ada kekuatan, terutamanya dalam Pakatan Harapan (PH) supaya kerajaan dibentuk seimbang dan dilihat lebih kuat pada masa akan datang.
“Petang ini kita (Majlis Presiden PH) akan bermesyuarat. Kita tak tahu pelawaan Mahathir akan dibincang atau tidak, tapi ahli bebas menyuarakan pandangan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Mohamad yang juga menteri pertahanan berkata, seruan supaya semua pihak, khususnya orang Melayu menyertai PH memang sedang giat diusahakan parti komponen PH, termasuk beliau sendiri.
“Saya sendiri sedang berusaha, termasuk pergi ke kubu kuat PAS di Kedah misalnya, supaya mereka menyertai PH untuk terus kekal memerintah pada pilihan raya umum akan datang,” katanya.
Ditanya mengenai sokongan orang Melayu kepada PH, Mohamad berkata, jumlah itu bertambah selepas Umno dan PAS secara rasmi bersama.
“Sokongan orang Melayu kepada PH semakin meningkat, terutamanya selepas sahnya ‘perkahwinan’ PAS dan Umno,” katanya.