Penceramah Wan Ji ke penjara selepas mahkamah tolak rayuan kes hina Sultan Selangor


(FMT) – Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ii memerintahkan penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin dipenjarakan setahun selepas menolak rayuan terhadap sabitan bersalah menghina Sultan Selangor 7 tahun lalu, lapor Sinar Harian.

Hakim, Abdul Halim Aman turut menambah hukuman 9 bulan kepada setahun kerana kata-kata menghasut dikeluarkan Wan Ji ialah penghinaan kepada Sultan Selangor.

“…apa yang dinyatakan tertuduh ini seperti mana tertera dalam pertuduhan, saya mendapati ianya sesuatu yang sudah terang lagi bersuluh.

“Setelah menimbang faktor mitigasi dan keseriusan kes, mahkamah dengan ini meminda hukuman 9 bulan yang dijatuhkan hakim Mahkamah Sesyen kepada penjara 1 tahun dan hukuman itu berkuatkuasa hari ini.”

Pada 9 April 2018, Mahkamah Sesyen Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara 9 bulan ke atas Wan Ji kerana memuat naik perkataan menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah, termasuk membabitkan isu agama melalui Facebook pada 5 November 2012.

Wan Ji ialah ahli Dewan Ulama PAS Selangor sebelum beliau menyertai PKR pada Julai 2015.

Hari ini, hakim menyifatkan tindakan Wan Ji melampaui batasan dan cuba menanam kebencian terhadap institusi diraja.

Beliau turut mengingatkan Wan Ji mengenai prinsip setia kepada raja serta kesopanan dan kesusilaan yang termaktub dalam Rukun Negara.

“Sultan adalah payung negeri, tempat rakyat bernaung di bawahnya.

“…kita kena ingat kepada prinsip Rukun Negara, iaitu kesetiaan kepada raja-raja.

“Walaupun sebagai warganegara kita diberi banyak kebebasan, namun ia ada had dan masih tertakluk kepada undang-undang dan norma kehidupan.”

Peguam, Mohd Radzlan Jalaludin yang mewakili Wan Ji memohon pelaksanaan hukuman ditangguhkan sementara menunggu rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan.

Halim kemudiannya memerintah Radzlan memfailkan permohonan penangguhan secara rasmi.

 



Comments
Loading...