Saya tak akan tinggalkan Umno untuk PPBM, kata Hishammuddin
(FMT) – Bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein hari ini mengulangi pendiriannya bahawa beliau tidak akan meninggalkan Umno untuk menyertai PPBM.
Hishammuddin berkata beliau percaya Pengerusi PPBM, Dr Mahathir Mohamad tahu kedudukannya sekarang dan sebelumnya.
“Banyak yang menuduh saya bermacam perkara. Tetapi saya konsisten, saya tidak akan meninggalkan parti itu. Justeru itu, dalam konteks perpaduan, untuk menyatukan orang Melayu dan Islam, saya fikir ia adalah penting bagi kita untuk mencari kaedah terbaik.
“Anda lihat, sebelum ini orang tidak mengharapkan PAS dan Umno boleh berganding bahu. Tidak mustahil pada masa itu.
“Meskipun sekarang, walaupun tidak mustahil saya meninggalkan Umno, tetapi dalam menyatukan orang Melayu, adalah penting bagi kita untuk melihat perkara ini secara membina dan terus membincangkan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.
Ahli Parlimen Sembrong itu berkata tawaran awal Mahathir untuk menyertai PPBM kini diubah kepada individu, pemimpin dan ahli parti.
“Dalam hal ini, saya ingin menegaskan saya sendiri tidak akan meninggalkan parti itu. Adalah penting bagi masyarakat untuk memahami pendirian kami,” katanya.
Ditanya sama ada Mahathir mendekati beliau selepas cadangan itu, Hishammuddin enggan mengulas, sebaliknya berkata beliau bertemu dengan ramai orang.
“Apabila datang kepada perpaduan Melayu, ia merentasi pertimbangan politik, emosi, pertimbangan peribadi.
“Saya konsisten dari awal. Sesiapa yang mahu bertemu dengan saya atas ‘perpaduan’, saya akan berjumpa. Tetapi jangan minta saya meninggalkan parti kerana saya percaya Umno mampu melihat perjuangan yang lebih besar.
“Bagi saya perlu dijelaskan supaya orang tidak mengambil kesempatan daripada pihak yang mengelirukan di luar sana, menimbulkan isu dan membuat tuduhan tidak berasas terhadap saya,” katanya.
Terdahulu, Mahathir mempelawa semua parti politik Melayu termasuk Umno menyertai PPBM bagi menguatkan kuasa politik kaum majoriti itu.