MENJAWAB KENYATAAN KADIR JASIN – TINDAKAN ANWAR TERHADAP ISU VIDEO VIRAL


Saya telah membaca kenyataan A.Kadir Jasin yang telah disiarkan di dalam Malaysiakini.  Beliau mencadangkan agar Anwar selaku Presiden KEADILAN terlebih dahulu patut bertindak terhadap Timbalan Presiden, YB Dato’ Seri Azmin Ali di dalam isu berhubung video yang tular serta hasil pengakuan Sdr Haziq.  Beliau mahu Anwar selaku Presiden KEADILAN bertindak terhadap Azmin sebelum menyerahkan semuanya kepada PM, Tun Dr Mahathir.
Kenyataan Sdr Kadir Jasin ini seolah-olah mahu Anwar bertindak sebelum selesai siasatan dibuat.  Sudah pastinya KEADILAN tidak boleh bertindak hanya kerana ada tuduhan dan pengakuan dari Sdr Haziq.  Anwar kena berlaku adil kepada semua dan Anwar juga mesti patuh kepada peraturan dan undang-undang di dalam parti.
Sewajarnya A.Kadir Jasin menyatakan perkara ini kepada PM selaku orang yang berkuasa agar siasatan adil perlu dibuat dan diselesaikan segera bagi memudahkan KEADILAN melakukan tindakan seterusnya.  Anwar tidak boleh mendahului siasatan apatah lagi melibatkan pimpinan tinggi di dalam parti.  Apakah adil Anwar bertindak sekarang sedangkan kita tidak tahu apakah Azmin bersalah atau tidak?
Sekiranya Anwar bertindak gopoh sekarang, sudah pasti akan ada tuduhan bahawa Anwar ingin menjatuhkan Azmin dan memperkuatkan lagi fitnah yang dibuat bahawa Anwar adalah dalang di sebalik isu video ini..
Seharusnya pihak PDRM diberi ruang yang luas dan terbuka tanpa campurtangan dari mana-mana pihak untuk menyiasat perkara ini.  Saya yakin, di bawah KPN yang baru, keadilan dan ketelusan akan terpelihara.
LEE CHEAN CHUNG
Adun Semambu 
Bendahari Agung KEADILAN


Comments
Loading...