Serangan terhadap Tun Dr Mahathir bermula?


(Utusan) – SEKIAN lama sejak selepas pilihan raya lalu saya dan pastinya ramai pemerhati politik sering berbincang apakah benar akan berlaku peralihan kuasa Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri yang kelapan.

Jika ia berlaku, bilakah masanya dan bagaimana ia akan berlaku? Jika tidak berlaku apakah pula senarionya?

Pernah dikhabarkan bahawa selepas dua bulan Anwar memenangi kerusi Parlimen Port Dickson tempoh hari, beliau akan mengambil alih kuasa. Bagaimanapun ia tidak berlaku.

Anwar secara luaran memang menyatakan memberi laluan kepada Dr. Mahathir untuk menjalankan tugas memperbaiki kebobrokan yang berlaku di bawah pemerintah kerajaan sebelum ini, dan hinggalah apabila pemimpin nombor satu negara itu bersedia untuk mengundurkan diri.

Bagaimanapun ramai pemimpin PKR khususnya yang tidak gembira dengan situasinya itu kerana mereka mendakwa Pakatan Harapan (PH) sebaik sahaja mengambil alih kepemimpinan negara telah bersetuju bahawa Mahathir hanya akan menjadi Perdana Menteri selama dua tahun dan tempoh itu semakin singkat.

Dan apabila Datuk Seri Mukhriz Mahathir mula membangkitkan isu bahawa tiada perjanjian sedemikian dan menggambarkan seolah-olah Anwar tamakkan kuasa, suasana menjadi semakin panas.

Bagi mereka yang hidup semasa era reformasi tentunya masih ingat bagaimana berkali-kali Dr. Mahathir berkata Anwar ialah pengganti beliau ketika itu ketika menjadi Perdana Menteri keempat. Bagaimanapun cerita sebaliknya berlaku, apabila akhirnya Anwar didapati bersalah di mahkamah atas tuduhan kes salah guna kuasa dan liwat terpaksa meringkuk di penjara.

Nampaknya sejak kebelakangan ini semakin rancak serangan ditujukan kepada Dr. Mahathir dan apakah ini menggambar gerakan untuk mendesak Anwar diberi lalu segera sebagai Perdana Menteri semakin intensif?

Jika benar bagaimana Anwar akan naik? Ada yang menjangka akan ada usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Dr. Mahathir di Parlimen kelak. Jika benar, siapa yang bakal membawa usul tersebut.

Timbul pula berita yang mencadangkan apabila Anwar naik kelak, beliau meletakkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai gandingan yang sesuai dan bukannya Mukhriz.

Apakah ini bermakna Muhyiddin yang akan membawa usul tidak percaya itu ke Parlimen.

Lalu apa pilihan yang ada kepada Dr. Mahathir, terus bertahan sehingga usul berkenaan dibentang ke Parlimen atau mengorak langkah sendiri.

Untuk bertahan dengan parti yang dipimpinnya iaitu Bersatu memanglah bukan langkah yang selamat, kerana parti itu adalah dikira kecil pengaruhnya di dalam PH, apatah lagi parti tersebut sendiri tidak pernah bersatu, sering berlaku pergeseran dan pertelagahan dalam kalangan pemimpinnya.

Terdapat juga ura-ura mengatakan Dr. Mahathir akan berpatah balik ke UMNO, tetapi meletakkan syarat Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dikeluarkan daripada parti tersebut. Bagaimanapun Ahamd Zahid telah kembali memimpin parti itu, manakala Najib dilantik sebagai Penasihat Barisan Nasional (BN).

Banyak lagi isu yang dijangka dijadikan peluru untuk menyerang Dr. Mahathir antaranya beberapa langkah yang diambil kepimpinan Dr. Mahathir juga dianggap tidak sejajar dengan aspirasi reformasi dan Malaysia Baharu, seperti menguasai media arus perdana di negara ini sebagaimana yang pernah beliau dan kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.

Mungkin juga isu ekonomi dan kita lihat perkembangan seterusnya dan apakah serangan akan ditingkatkan dan apa bentuk tindak balas Dr. Mahathir.

 



Comments
Loading...