Strategi kubu kosong Anwar Ibrahim
Khalid Jaafar, Malaysiakini
Peminat “San Guo Yan Yik (Babad Tiga Negeri)” tentunya tahu strategi kubu kosong yang digunakan oleh Zhuge Liang. Begitu pintarnya strategi tersebut hinggakan kini ia menjadi sebutan. Antara pengkagumnya adalah Henry Kissinger dan ‘grand strategist’ tersebut menulisnya dalam karya bertajuk On China.
Dalam episod itu Zhuge Liang, kepala strategis dan Perdana Menteri Liu Bei, berada di sebuah kubu yang tidak mempunyai pertahanan sama sekali. Tiba-tiba muncul tentera musuh yang dikepalai oleh Sima Yi, strategis utama Cao Cao, datang untuk menangkap Zhuge Liang.
Melihat kubu tersebut lemah dan tiada tentera berkawal, tentera Sima Yi begitu ghairah untuk menyerang dan menawan kubu tersebut serta menangkap Zhuge Liang. Tetapi Sima Yi melihat kubu itu terlalu sunyi dan dia melihat Zhuge Liang sedang bermain zither tanpa rasa gentar sama sekali kepada tentera musuh yang hampir.
Sima Yi berkata pada jenderalnya: “Dengar muzik yang dialunkan Zhuge Liang. Amat tenang dan dalam seperti tasik yang tidak berkocak. Ini perangkap. Dia mempunyai ramai tentera yang bersembunyi dan akan membuat serangan hendap bila kita menyerang. Ayuh kita berundur.”
Sama ada sedar atau tidak, Anwar Ibrahim turut menggunakan strategi ini. Beliau menggunakannya berkali-kali pada hal strategi ini hanya boleh digunakan sekali sahaja. Sebaik sahaja Sima Yi dan tenteranya berundur, Zhuge Liang bergegas bungkus dan lari ke kubu yang mempunyai pertahanan kuat.
Anwar menggunakan strategi kubu kosong selepas PRU12. “I have the number.” Itulah ayat keramat beliau. Maka gemparlah seluruh Malaysia dan ibu negara bagi negara-negara jiran. Anwar Ibrahim sedikit hari lagi akan jadi perdana menteri keenam. Nujum-nujum politik pun riuh kembali mentafsir teori RAHMAN. Sepatutnya perdana menteri keenam adalah orang yang namanya bermula dengan huruf N. Seorang nujum lain menjawab. Sebenarnya RAHMAN itu dieja dengan dua A. Maka ejaan sebenar adalah RAHMAAN. Nujum seorang lagi membantah. Ejaan asal itu betul. Huruf A terakhir boleh mewakili dua individu tafsirnya.
Tetapi strategi kubu kosong hanya boleh berkesan apabila perangkap itu tidak dapat dihidu sebagaimana Sima Yi gagal menghidunya kerana terpukau dengan ketenangan Zhuge Liang dan petikan zithernya.
Ahli-Ahli parlimen Umno pasca PRU12 yang beliau undang untuk melompat menyeberang ke PKR mengambil sikap tunggu dan lihat. Mereka ternanti-nanti ‘parliamentary coup’, undi tidak percaya yang akan membawa beliau ke Putrajaya atau Istana Negara akan membuka pintu untuk Anwar mempersembahkan akuan berkanun (SD) dukungan ahli-ahli Parlimen yang mencukupi untuk membolehkan beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.
Ayat keramat ‘I have the numbers’
Akhirnya temberang Anwar terbongkar, dia tidak mempunyai jumlah sokongan seperti yang beliau sebutkan. Maka BN kekal memerintah sehingga ditumbangkan dalam PR14 oleh Pakatan Harapan yang dipimpin oleh strategis yang lebih cemerlang iaitu Dr Mahathir Mohamad.
Baru-baru ini, Anwar sekali lagi mengulangi ayat keramatnya: “I have the numbers”. Begitu kerap beliau mengulanginya, diulangi dengan keyakinan seperti yang ditampilkan oleh Zhuge Liang yang berdepan tentera Sima Yi, sehingga ada wartawan asing yang naif mempercayai gelebong tersebut. Jawapan saya mudah sahaja. Betul Anwar ada jumlah, tetapi jumlah tersebut diperolehi melalui kiraan yang menggunakan ‘fuzzy math’.
Anwar meratib-ratibkan “I have the number” untuk mencipta persepsi bahawa dia boleh jadi perdana menteri pada bila-bila masa yang dia mahukan dan keberadaan Dr Mahathir di kerusi perdana adalah dengan ihsannya. Pada masa yang sama, juak-juak Anwar pula membuat kenyataan menuntut tarikh peralihan kuasa tersebut ditetap.
Hakikatnya adalah jumlah sebenar, majoriti selesa, adalah di tangan Dr Mahathir. Dukungan kepada perdana menteri yang bipartisan sifatnya telah menjana kestabilan politik dan membolehkan beliau dan kiabinetnya memberikan tumpuan kepada menangani masalah rakyat dan ekonomi negara.
Namun, Anwar tidak gemar kepada kestabilan dan ketenteraman ini. Kaca TV dan dada akhbar akan dipenuhi dengan wajah Dr Mahathir dan menteri-menteri kabinet yang menjalankan tugas masing-masing. Bahkan isterinya, Wan Azizah lebih kerap muncul di TV dan mendapat laporan media kerana menyandang jawatan timbalan perdana menteri.
Anwar terpinggir dari arus perdana pemberitaan. Maka beliau ciptakan kempen peralihan kuasa dan citra perdana menteri kelapan. Rakyat diheret ke dalam kontroversi tentang apa yang boleh diuruskan secara teratur dalam Pakatan Harapan.
Mencipta kekalutan memang ‘forte’ Anwar Ibrahim. Mengulas kekacauan agung yang dicipta Anwar dalam tahun 1998 adalah terlalu panjang, lebih panjang dari kisah 1,001 malam yang dipintal oleh Shahrazad.
Namun lihat sahaja apa yang berlaku dalam PKR. Sebelum ini, ketidakpuasan pimpinan di semua peringkat terhadap kepimpinan Wan Azizah memang sentiasa ada. Namun rasa hormat dan sayang kepada Kak Wan lebih besar makna dan ertinya buat anggota PKR.
Gambar bertemu PM
Tetapi lihat sahaja apa yang berlaku dalam PKR tidak sampai setahun Anwar mengambil alih jawatan presiden. Beliau tidak berlaku adil semasa pemilihan baru-baru ini. Dan apabila pasukan yang beliau sokong bermati-matian kalah, maka beliau tidak berlaku adil kepada yang menang.
Berkali-kali Anwar ingin menyekat kemaraan politik seorang yang pernah bergelar setiausahanya dan dalam pemilihan yang lalu, riwayat politiknya mahu dibunuh. Namun, keterampilan dan wibawa politik Azmin telah sekali lagi membawa beliau melepasi segala sekatan tersebut.
Kini hampir setiap minggu Anwar menularkan gambarnya bertemu perdana menteri. Asal bertemu pasti bergambar. Entah ke mana panglima-panglima politik Anwar hari ini sehingga Anwar sendiri terpaksa membangkitkan persoalan peralihan kuasa, yang kemudian Anwar sendiri akan menjawabnya.
Maka, persoalan paling agung di hadapan rakyat Malaysia pada hari ini, apakah Anwar sebagai sebagai orang yang gemar kepada ketidakstabilan, sendiri mencipta kacau bilau dalam parti dan dilihat tidak dapat berlaku adil kepada semua ahli parti berupaya untuk mempertahankan kestabilan dan ketenteraman negara serta memberi keadilan kepada semua?
Akan tetapi sudah ada janji. Janji mesti ditepati. Tetapi adakah dengan menepati janji tersebut akan menepati keadilan? Ini yang perlu direnungi dan dimuhasabahkan oleh rakyat Malaysia khususnya ahli dan pemimpin parti politik yang mengambil ‘Keadilan’ sebagai namanya. Saya yakin, Plato boleh memberikan pencerahan.
Karya Plato yang paling terkenal adalah Politeia yang sering diterjemahkan sebagai Republik. Tetapi inti buku tersebut membicarakan keadilan politik. Dalam hampir kesemua dialognya Plato menggunakan watak gurunya Sokrates sebagai pengungkap gagasan dan persoalan. Dalam Republik, Plato meletakkan Sokrates dalam satu perdebatan untuk mencari makna keadilan dengan sekumpulan anak muda.
Sokrates menanyakan pada anak-anak muda, “Bercakap tentang perkara ini, keadilan, adakah kita akan menegaskan tanpa sebarang pengecualian, ia adalah bercakap benar, memulangkan apa yang dipinjam, atau tindakan ini sebenarnya kadang-kadang adil dan kadang-kadang tidak adil?”
Maksud saya, sebagai contoh, jika ada seseorang yang meminjam senjata dari seorang kawan ketika ia siuman dan kemudian orang yang meminjamkan senjata tersebut jatuh gila dan meminta kembali senjatanya. Dalam keadaan begitu, kita tidak sepatutnya memulangkan senjatanya (mengikut perjanjian), dan kalau kita memulangkannya, kita sebenarnya tidak akan berlaku adil.”
Rakyat Malaysia memerlukan keadilan.
Kita renungkanlah!
KHALID JAAFAR ialah penasihat Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali.