Anwar PM, DAP Timbalan PM
Salleh SD
Rakyat Malaysia sudah nampak dengan jelas bahawa Anwar tidak sabar untuk mengambil jawatan Perdana Menteri Malaysia dari Tun Dr Mahathir Mohamad. Sifatnya yang tidak sabar-sabar untuk menjadi perdana menteri bukanlah benda yang baru. Dan kali ini, untuk memastikan cita-citanya tercapai, Anwar sanggup melakukan apa sahaja termasuk menggadaikan Malaysia ke tangan orang bukan Melayu.
Sebelum pilihanraya ke 14 lagi Anwar telah pun membuat ‘deal’ tepi dengan DAP. Antara ‘deal’ itu adalah Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan adalah kepunyaan DAP. Jadi rancangan Anwar adalah, selepas Tun Dr Mahathir melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri dan menyerahkan jawatan itu kepada Anwar, maka dia akan melantik Timbalan Perdana Menteri dari kalangan DAP. Menteri Kewangan pula akan terus sahaja diserahkan juga kepada DAP.
Mahathir sudah tahu dan dapat hidu rancangan Anwar itu. Malah Mahathir pernah dedahkan pada tahun 2017 bahawa DAP mempunyai hasrat dan bercita-cita untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan menjadi kerajaan. Dan hari ini, DAP telah berjaya mengorak langkahnya yang pertama dengan meletakkan wakilnya menjadi Menteri Kewangan.
Bagi menghalang rancangan Anwar dan DAP itu berjaya, Mahathir telah bersiap sedia untuk meletakkan Azmin Ali sebagai Timbalan Perdana Menteri. Apabila Azmin menjadi TPM maka rancangan Anwar dan DAP akan musnah dan jawatan TPM tidak akan jatuh ke tangan DAP. Disebabkan rancangan Anwar telah dipatahkan oleh Mahathir, maka Anwar pun bertindak menyerang balas untuk sabotaj Mahathir dengan cara ‘membunuh’ Azmin melalui video-video Semburit.
Itu lah puncanya kenapa Mahathir masih memegang jawatan sebagai Perdana Menteri sehingga hari ini dan tidak akan menyerahkan jawatannya kepada Anwar.
***********************************************
DAP mahu jawatan Timbalan Perdana Menteri – Dr Mahathir
(Berita Harian, 19 Januari 2017) – Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan DAP mahu jawatan Timbalan Perdana Menteri sekiranya pakatan pembangkang menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.
Beliau yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkata, hasrat itu disuarakan sendiri DAP yang mahu jawatan kedua tertinggi dalam kerajaan berkenaan diserahkan kepada salah seorang pemimpin parti itu.
Bagaimanapun, beliau menafikan DAP mahukan jawatan Perdana Menteri kerana memerlukan undi daripada orang Melayu yang dilihat sukar berbanding mendapatkan undi kaum Cina.
“Tak mungkin (mahu jadi Perdana Menteri jika menang PRU) kerana kalau DAP nak menang, mereka kena dapat sokongan parti Melayu yang lain.
“Mereka terang-terang kata kepada saya, bangsa Cina ini minoriti dalam negara ini…dan DAP tak pernah minta menjadi Perdana Menteri.
“Tapi kalau timbalan itu, adalah…Yang kata mereka nak jadi Perdana Menteri adalah Datuk Seri Najib untuk menakut-nakutkan orang Melayu,” katanya seperti dilaporkan portal Antarapos, hari ini.
Beliau berkata demikian pada program Warga Putrajaya bersama Tun Dr Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, hari ini.
Pada 31 Disember lalu, bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim, mendakwa Datuk Seri Mukhriz Mahathir akan menjadi Perdana Menteri, manakala Lim Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri jika Pakatan Harapan berjaya menawan Putrajaya pada PRU Ke-14.
Mukhriz dan Kit Siang turut dicabar membuat akuan bersumpah (SD) menafikan mereka bukan calon sulit Pakatan Harapan bagi kedua-dua jawatan itu.