Waytha mahu kerajaan iktiraf ‘agama tradisi’ Orang Asli


(FMT) – Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy berkata, beliau akan bekerja dengan kerajaan bagi megiktiraf “agama tradisi” Orang Asli.

“Saya akan adakan lebih banyak perbincangan dengan Orang Asli dan mengemukakan perkara itu kepada kerajaan untuk mengiktiraf agama mereka, iaitu agama semulajadi, secara rasmi,” kata menteri perpaduan negara dan pembangunan masyarakt itu.

Beliau berkata, rakyat Malaysia umumnya salah faham dan menganggap Orang Asli tidak mempunyai agama, termasuk dalam kalangan ahli politik.

“Agama mereka adalah agama kerohanian. Mereka ada nilai moral yang baik. Mereka menghormati alam semulajadi dan ia merupakan agama mereka.

“Saya fikir kita perlu didik rakyat, termasuk ahli politik, bahawa Orang asli mempunyai agama.

“Saya fikir pada masa-masa akan datang, agama mereka akan diiktiraf secara rasmi,” katanya kepada pemberita di luar dialog meja bulat mengenai Orang Asli dan persekolahan.

Bagaimanapun katanya, ia adalah isu sensitif yang perlu ditangani dengan cermat.

Waytha juga berkata, asimilasi Orang Asli tidak merupakan sebahagian daripada agenda kerajaan.

Dalam perkara lain, beliau mendolak dakwaan pemimpin DAP, P Ramasamy bahawa beliau tidak telus berkaitan peruntukan Belanjawaan 2019 sebanyak RM100 juta untuk tujuan pembangunan masyarakat India.

Beliau berkata, maklumat pengagihan dana kepada pelbagai entiti ada dipaparkan di laman web Unit Transformasi Masyarakat India (Mitra).

“Beliau (Ramasamy) tidak tahu tentang fakta tertentu, tetapi terserah kepadanya, beliau boleh membuat kritikan.

“Dengan berlakunya perubahan kerajaan, semua pihak mahu supaya perubahan itu berjalan dengan segera, tetapi saya lebih mahukan ia berlaku dengan betul” katanya.

Dalam satu kenyataan hari ini, timbalan ketua menteri II Pulau Pinang itu meminta Waytha menjelaskan apakah yang telah berlaku kepada dana RM100 juta yang diperuntukan dalam Belanjawan 2019 bagi membantu masyarakat India.

Katanya, dana tersebut disalurkan kepada pelbagai persatuan, tetapi tidak ada ketelusan mengenainya.

“Waytha yang sepatutnya mengemukakan maklumat itu kepada Majlis Wakil Rakyat India Pakatan Harapan (EIRCPH) tidak berbuat demikian walaupun beliau dijemput membuat pemakluman itu,” kata beliau.

Waytha berkata, beliau akan mengadakan pertemuan untuk mengemas kini majlis berkenaan dalam masa 2 ke 3 minggu.

 



Comments
Loading...